Sunday, March 8, 2009

Ampun Tuanku

Ampun tuanku, sembah patik harap diampun.

Tuanku, patik difahamkan bahawa memanda tuanku DS Nizar akan memohon mengadap mempersembahkan mohon perkenan membubarkan DUN Perak pada hari Selasa ini. Hari Selasa bersamaan 10 Mac 2009 Masihi atau 13 Rabiul Awal 1430 Hijrah. Esok hari Isnin, kita dengan penuh kesyukuran ke hadrat Illahi akan bersama menyambut Hari Maulidur Rasul. Semoga perkenan tuanku membubarkan DUN Perak dalam suasana kita meraikan Maulidur Rasul akan menambahkan keberkatan Allah ke atas negeri tuanku, Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sebulan lalu tuanku telah mengistiharkan perlantikan memanda baru setelah menerima nasihat yang salah daripada timbalan memanda negara yang sibuk mencampuri urusan negeri tuanku. Lihatlah hasilnya. Dalam tempoh sebulan ini, rakyat setia tuanku telah dikatakan derhaka oleh timbalan memanda negara yang sememangnya bukannya berstatus rakyat tuanku. Patik sebagai rakyat setia tuanku bukannya mahu menderhaka kepada tuanku. Patik rakyat begitu terkejut dengan rampasan kuasa yang dipengaruhi oleh orang luar. Secara spontan kami rakyat telah berkumpul dan mengadap tuanku di luar istana pada hari Jumaat, 6 Februari 2009 untuk menzahirkan rasa dukacita yang teramat sangat. Salahkah kami rakyat mengadap tuanku di luar istana? Kami rakyat semenjak lahir lagi sememangnya tiada peluang mengadap tuanku di dalam istana. Kami rakyat yang sebelum ini sentiasa berbaris melambai senyum setiap kali tuanku lalu berkenderaan telah dikatakan derhaka oleh timbalan memanda luar. Benarkah kami rakyat telah derhaka kepada tuanku? Kami majoriti rakyat tuanku hanya memohon perkenan tuanku membubarkan DUN Perak. Itu sahaja. Biar rakyat memilih pembesar negeri tuanku melalui PRU.

Ampun tuanku sembah patik harapkan diampun.

Andaikata melalui PRU baru UMNO menang, maka kami rakyat yang tidak menyokong UMNO akan menerima dengan fikiran dan hati yang terbuka akan sesiapa sahaja pembesar negeri daripada kalangan UMNO yang diwatikahkan. Pembesar dan rakyat negeri tuanku akan kembali tenang dan damai untuk merangka dan melaksanakan kembali segala program ekonomi dan sosial di negeri ini. Kami rakyat yang bukan pengundi UMNO akan sabar menunggu PRU baru lima tahun lagi. Kami sentiasa mendoakan ke hadrat Illahi agar tuanku dan kerabat, pembesar negeri dan rakyat termasuk patik dilimpahi dengan rahmatNya.

Tetapi andaikata keputusan PRU nanti sama seperti sebelum ini, tuanku boleh menetapkan syarat kepada bakal pembesar negeri daripada kalangan PR ketika tuanku memperkenankan pembubaran DUN nanti. Mungkin patik boleh mencadangkan begini. Memanda menteri besar mesti Melayu daripada PAS atau PKR. Exco bukan Melayu mestilah tidak melebihi lima orang atau separuh daripada jumlah exco. Exco DAP tiga orang termasuk exco Melayu jika ada. Exco PAS juga tiga. Manakala Exco PKR pula empat iaitu dua Melayu, satu Cina dan satu India. Ringkasnya jumlah exco Melayu daripada PAS dan PKR mesti sekurang-kurangnya lima orang. Ini bermakna pentadbiran negeri akan dikuasai oleh Melayu. Ini juga bermakna tidak ada lagi gelaran memanda boneka oleh UMNO.

Tuanku, janganlah pula tuanku mencadangkan penggabungan UMNO dengan PAS. Cadangan sebegini hanya akan menambahkan lagi kemelut politik di negeri tuanku. Ini kerana buat ketika ini rakyat tuanku terbahagi kepada dua, sama ada menyokong BN atau PR. Biarlah kami rakyat yang menentukan corak politik yang kami kehendaki.

Ampun tuanku sembah patik mohon diampun.

Di hati kecil patik, patik memohon kepada tuanku mengeluarkan titah untuk mendakwa memanda dan pembesar-pembesar PR sekiranya mereka telah melanggar perlembagaan atau undang-undang negeri di sepanjang 10 bulan mereka memegang jawatan di negeri ini. Nyatakan secara jelas tentang perlembagaan atau undang-undang mana yang mereka telah langgari. Kami rakyat akan bersama tuanku menghukum mereka sekiranya kesalahan mereka dapat dibuktikan.

Tuanku, patik juga mohon titah perintah tuanku terhadap timbalan memanda negara yang telah memberi nasihat yang salah kepada tuanku sehingga Dewan Negeri tuanku bersidang di bawah pokok. Malunya patik kepada dunia sebagai rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan. Jikalau patik rakyat kecil inipun terasa bahang aibnya, tuanku mesti lebih lagi terasa hinanya. Hina dan aib negeri ini angkara timbalan memanda negara.

Ampun tuanku sembah patik yang tidak beradab ini mohon diampun.

Patik mohon kepada tuanku, perkenankanlah permohonan membubarkan DUN oleh Memanda DS Nizar pada hari Selasa ini. Jadikanlah kesilapan rakyat atau tuanku sebulan yang lalu sebagai satu iktibar untuk kami rakyat tuanku menyanjung kembali institusi istana. Kami rakyat mahu terus setia bernaung di bawah payung tuanku.

Ampunkan patik tuanku.

Daulat tuanku.

3 comments:

  1. Apum Tuanku, Patik sependapat dan menyokong Mamamat.

    ReplyDelete
  2. ADO BERANI KA SULTAN PERAK,,,,, GUE INGAT DIA TAK ADA BERANI NAK BERI GREEM LITE UNTUYK BUBAR DUN PERAK,,,,,,, WE LOOK N SEE LAAA.....

    ReplyDelete
  3. kalu sultan bubar DUN tak ada projek ler anak dia....
    anak dia nak makan apa? makan katak ler..

    ReplyDelete