Wednesday, February 11, 2009

Saudaraku Tumbuk Rusuk .. Layanlah manusia secara manusia

Salam sejahtera saudara Tumbuk Rusuk

Terima kasih kerana menjenguk dan menziarahi dango saya. Terima kasih juga kerana meninggalkan pesan di dango saya. Maaf kerana saya lambat meraikan pesan tetamu bertaraf konsulat seperti saudara. Saya ke hutan sekeliling dango tunduk mencari warna warni cenderawasih sambil sekali sekala mendongak ke langit biru memerhati kut-kut ada rajawali terbang pulang.

Saya lihat saudara begitu serius. Tidak cukup meninggalkan pesan di dango, saudara tinggalkan juga pesan yang sama untuk saya di kediaman saudara. Biarlah rerakan kita membaca pesanan yang saudara tinggalkan. Lagipun saya faham yang saudara mahu saya tunjukkan kepada mereka akan tempat tinggal saudara. Tidak perlulah saudara bersusah payah menjamu mereka dengan kijang panggang. Cukup sekadar ‘ayor mati’ melepas dahaga. Kepada semua silalah kita berkunjung ke http://tumbuk-rusuk.blogspot.com/

Ada tiga perkara besar yang saudara ungkitkan dalam pesanan di dango saya. Saya telah memperjelaskannya sebelum ini secara angin lalu. Tidak mengapalah, biar saya ulangi dan biar saya peruntukkan sedikit masa untuk bersama saudara.

Tragedi 2 MB Perak

Tragedi ini boleh dielakkan jikalau UMNO memberi sedikit ruang sehari dua kepada PR. Sebelum majlis angkat sumpah MB baru pada petang Jumaat, PR melalui speaker dewan telahpun memohon perkenan istana untuk memanggil sidang dewan khas. Tangguhkan dahulu majlis angkat sumpah. Sila semua ADUN ke dewan untuk melaksanakan usul undi tidak percaya kepada kerajaan PR. Tentu keputusannya 31 BN, 28 PR. Selepas itu bolehlah semua ke istana menyaksikan majlis angkat sumpah MB baru. PR dan penyokongnya terpaksa puashati walaupun kecewa. Tetapi soalnya, kenapa UMNO tidak cuba menyelamatkan maruah istana dengan bersetuju ke dewan terlebih dahulu. MB Nizar tentu akur dengan keputusan dewan. MB Nizar akan bersalaman dan berpeluk dengan penggantinya. Rakyat kedua-dua belah pihak akan gembira. MB baru dan exco boleh memulakan kerja dengan sempurna. PR akan sabar menunggu PRU 13.

Sayangnya UMNO tidak bersedia untuk majlis di dewan sebelum ke istana. Sayangnya UMNO sendiri mahukan rakyat ‘menderhaka’ kepada sultan. Sayangnya UMNO mahu UMNO sahaja yang dilihat oleh istana sebagai rakyat yang penuh hormat taat setia tidak berbelah bahagi kepada sultan. Sayangnya UMNO mempermainkan rakyat dan istana. Terlalu kasih dan sayangnya UMNO kepada istana ketika UMNO di ambang senja. Dahulu ketika UMNO gagah perkasa, istana disepak terajang dibuang imuniti. Parti mana yang hapuskan kekebalan istana?

Isu Melayu

Tidak habis-habis dengan isu Melayu. Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Orang Cina dan India yang memeluk agama Islam tidak dipopularkan sebagai orang Islam, tetapi lebih glamour ‘masuk Melayu’. Begitulah sinonim Melayu dengan Islam. Dan lebih sinonim lagi bahawa Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu. Secara langsungnya UMNO itu Islam. Oleh itu orang Melayu mesti bersama UMNO kerana UMNOlah pejuang bangsa dan agama. UMNO begitu berbangga kerana sejarah telah membuktikan bahawa kemerdekaan negara ini adalah berdasarkan kejayaan UMNO merealisasikan konsep Negara Bangsa. Tetapi sedarkah UMNO bahawa pejuang UMNO lampau amat berbeza dengan pimpinan UMNO hari ini. Pejuang UMNO lampau bergolok bergadai ikhlas merealisasikan impian. Kerana itu UMNO lampau sukar untuk dikalahkan.

Hari ini UMNO tidak lagi menjadi seperti kisah lampaunya. UMNO gagal melakukan transformasi seperti rajawali. UMNO menyanjung memuji cenderawasih sehingga lupa asal usulnya cuma seekor gagak liar yang sentiasa berdikari mencari cebisan bangkai. Gembiranya gagak kerana bangkai telah bertukar menjadi lauk pauk sedap berselera dimakan enam kali sehari. Tetapi hari ini anak cucu gagak melakukan transformasi makanan baru iaitu pemakan rasuah.

Saya orang Melayu seperti saudara. Saya tidak mahu Melayu rasuah. Saya tidak mahu Melayu yang di mulutnya mahu jatuh bangun bersama Melayu, tetapi tersirat di hati mahu menjadikan Melayu sebagai jambatannya untuk menindas Melayu. Lebih perit menerima hakikat yang bangsa sendiri menindas Melayu. Adakah PAS atau PKR atau DAP menindas Melayu? Buktikan.

Tanah Rezab Melayu

Heboh hak milik 999 tahun. Apa beza hak milik kekal dengan hak milik 999 tahun. Sekiranya 999 itu benar-benar wujud, sekurang-kurangnya ia ada tempoh tertentu berbanding hak milik kekal. Heboh tanah rezab Melayu di kampung-kampung baru Cina telah bertukar milik kepada Cina. Saya ingin bertanya kepada orang UMNO, sanggup atau tidak menghalau keluar orang-orang Cina daripada kampung-kampung baru yang telah mereka diami selama tiga atau empat generasi? Lebih baik berikan geran hak milik supaya kampung-kampung baru boleh dimajukan. Supaya pendapatan negeri melalui cukai tanah boleh dipertingkatkan. Supaya masyarakat Malaysia hidup harmoni. Melayu adalah manusia. Cina dan India juga adalah manusia. Oleh itu layanlah manusia secara manusia.

Geran hak milik kepada orang-orang Cina hanya melibatkan tanah kediaman bertaraf ‘tanah lesen’ atau TOL. Tidak luas mana tanah yang diberikan kepada mereka berbanding ‘tanah lesen’ milik Melayu di kampung-kampung tradisional. ‘Tanah lesen’ Melayu merangkumi tanah kediaman dan pertanian. Tetapi sedarkah saudara bahawa ‘tanah lesen’ Melayu telah diambil dengan mudah oleh petualang UMNO.

Kes untuk dikongsi ... seorang teman membeli sebidang tanah pertanian seluas tiga ekar di kampung …. Murah jer. Tunjuk geran, kemudian pegi tengak tanah. Cantik, tepi jalan besar, berdekatan sungai, banyak pokok durian dan buahan kampung. Syoknya bercuti bila musim buah nanti. Kenapa nak jual? Tak larat nak jaga. Tetiap bulan kena tebaih.Lagipun ada dusun lain dekat rumah. Oooo… Terus pegi pejabat tanah tukar nama. Bayar habis. Buat dango sementara nunggu musim buah. Bila musim buah tengak ada orang lain nunggu. Pegang durian .. yang tu RM2 jer encik. Haaa, ini tanah saya. Pokok ini tok teman yang nanam. Dulupun ada oghang nak cuba ambik, teman hambat dengan parang, langsung tak datang. Hari ni encik ambik jer ler dua tiga biji. Kalo esok kena bayor.

…. ringkas cerita. Tuan asal tanah itu telah memohon tanah itu di pejabat tanah tetapi tidak dilayan. Hanya hidupkan TOL jer. Bila dia dah mati, anak cucu nak buat rumah di kampung pinjam bank tak lulus. Frust lalu lupa nak bayor cukai TOL beberapa tahun. Sedar-sedar tanah telah bertukar nama. Bila mengadu pada pejabat tanah, mereka mintak resit bayaran lama. Bila tunjuk resit lama, mereka nakkan resit terkini. Udah tak bayor, macam mane nak tunjuk resit baru. Dia dapat sebab dia mohon tanah tu … siasat punya siasat ada hubungan dengan UMNO ..

Siapa tipu siapa? Apakah UMNO menolong bangsanya sendiri? Atau UMNO tolong perabih harta bangsanya sendiri?

Terima kasih Saudara Tumbuk Rusuk.

5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Mamamat..
    Saya membaca tulisan saudara melaui HTC Tytan II, masih dalam perjalanan ke KL, subuh esok nak ke Kuching. Tiada Notebook bersama saya, sedikit sukar untuk menulis. Saya tulis sikit-sikit jer...

    1. Tragedi 2 MB... mungkin saudara betul, mungkin PAS betul. Mungkin UMNO bikin cerita atau sebaliknya vice versa.. wallahua'lam. Tapi teman menerima hakikat `realiti politik'.. realiti politik penuh dengan helah, tak masakan dalam peperangan Jamal, Saidatina Aishah dan Muawiyah yang diiktiraf sebagai (Sahabat bagaikan bintang dilangit atau hampir dgn Rasullulah berada) ahli syurga berhelah dengan meletakkan mashaf Al-quran dihujung lembing ketika memerangi Khalifah Othman untuk mengelak dikalahkan oleh tentera Uthman Affan. Kita ni mungkin orang berpihak atau setidak2nya orang yang telah memihak, jadi persepsi berbeza, perawi-perawi cerita banyaknya jenis kencing berdiri... biarlah perkara ini berlalu.. hakikatnya majoriti Dewan ketika ini memihak pada BN... esok lusa belum tahu lagi.. BN baru grabbed government, tapi sokongan rakyat belum lagi.... Ini BN kena ingat... terpulanglah kpd BN untuk mengambil pelajaran. Kita tunggulah PR atau PAS atau DAP atau PKR failkan ke Mahkamah. Biar mahkamah putuskan.

    2. Isu Melayu... saya tulis kemudian... saya dah sampai KL.. saya ada masa 2 jam untuk tidur, saya kena berada di LCCt jam 6.15.. pagi, sambung lainkali, InsyaAllah.

    ReplyDelete
  3. Salam TR
    ...peperangan Jamal, Saidatina Aishah dan Muawiyah yang diiktiraf sebagai (Sahabat bagaikan bintang dilangit atau hampir dgn Rasullulah berada) ahli syurga berhelah dengan meletakkan mashaf Al-quran dihujung lembing ketika memerangi Khalifah Othman untuk mengelak dikalahkan oleh tentera Uthman Affan ...

    Saya tolong betulkan .. Dalam Perang Siffin, peperangan telah berlaku antara Ali b. Abi Talib dengan Muawiyah b. Abu Sufian. Amru al-As bagi pihak tentera Muawiyah telah meletakkan mashaf Al-Quran di hujung lembing/pedang untuk mengelak dikalahkan oleh tentera Ali.

    Semoga TR telah selamat sampai ke Kuching dan sentiasa berada dalam rahmatNya

    ReplyDelete
  4. Saya sedikit teruja setiap kali menulis mengenai Pakatan Rakyat. Mungkin kerana topiknya amatlah mudah untuk ditulis. Ada saja buah-buah fikiran yang mencurah-curah masuk ke dalam otak.

    Suka saya ingatkan di sini bahawa tajuk artikel saya kali ini amatlah bertepatan dengan isi kandungannya. Jika anda bersetuju dengan tajuk di atas, tidak perlulah anda meneruskan pembacaan anda. Ini kerana mereka yang sudah masak dengan agenda Pakatan Rakyat sudah tidak perlu diberitahu lebih lanjut lagi. Sila berhenti membaca di sini. Terima kasih.

    Jika anda tidak bersetuju pun, tidak mengapa. Tiada apa yang akan saya katakan akan masuk dek akal di kalangan mereka yang tidak sehaluan dengan blog ini. Anda boleh tekan butang ‘backspace’ sekarang. Terima kasih.

    Sebenarnya, artikel kali ini ditulis kepada sesiapa yang telah melihat gelagat para penyokong Pakatan Rakyat pada hari Jumaat lepas.

    Saya terpanggil untuk menganalisa apa yang berlaku selepas hari Jumaat tersebut. Kita tidak akan menyentuh mengenai keputusan Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.

    Ini kerana, ramai yang tiba-tiba sudah khatam ijazah perundangan akan bertelagah sesama sendiri di sini. Ramai juga yang perasan menjadi tuan-tuan hakim untuk terus menerus menjatuhkan hukuman kepada Sultan Azlan. Walaupun sudah dikatakan bahawa baginda telah bertindak mengikut lunas undang-undang, ada juga yang akan menidakkan bidang kuasa baginda. Mereka akan berkata yang baginda mungkin tersilap kerana baginda hanya seorang manusia, akan tetapi mereka ini terlupa yang mereka juga manusia yang tidak terlepas dari kesilapan. Harap mereka ini dapat menarik dan menghela nafas keinsafan.

    Seperti dikatakan dahulu, kita boleh membawa perkara ini ke mahkamah jika mahu.

    Namun begitu, perkara yang tidak dapat diselesaikan di mahkamah adalah maruah baginda yang sudah tercemar akibat cacian para pemimpin Pakatan Rakyat yang menghasut para penyokong mereka supaya memberontak. Kelakuan ini sudah pun dikategorikan sebagai menderhaka.

    Yang gelihatinya, apabila orang ramai berkata bahawa Pakatan Rakyat sudah menderhaka kepada Sultan, mereka cuba memulang paku buah keras dengan mengatakan Umnolah yang mula mula menderhaka kepada Sultan suatu masa dulu. Sungguh pelik sekali. Apabila dengan terang kita melihat Umno, Barisan Nasional, sebahagian rakyat, segelintir NGO dan para bloggers sedang berhempas pulas mempertahankan institusi diraja, Pakatan Rakyat dengan tidak segan silu menzahirkan perbuatan mereka dengan menyatakan ‘dulu orang lain pernah buat, kami pun hendak buat juga!’

    Beginilah sebenarnya perangai pemimpin Pakatan Rakyat. Tidak mahu bertanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan. Di mana-mana kita baca tidak terdapat satu blog pemimpin Pakatan Rakyat yang meminta maaf di atas keterlanjuran para penyokong mereka minggu lepas. Anwar Ibrahim telah bertungkus lumus menggembleng tenaga buruh (ada juga yang di import dari Indonesia) untuk membuat rusuhan yang secara tidak langsung merupakan kejadian paling biadap yang pernah kita saksikan sepanjang hayat kita.

    Sewaktu Raja-Raja Melayu ingin tunduk kepada pihak British, orang-orang Melayu ketika itu telah berarak beramai ramai ke Station Hotel di Kuala Lumpur untuk memujuk raja-raja mereka agar tidak bersetuju dengan perjanjian Malayan Union. Kesultanan Melayu bernasib baik kerana Datuk Onn Jaafar telah memimpin perjuangan untuk mengembalikan kuasa Raja Raja Melayu dari dirampas oleh pihak British.

    Hari ini kita dapat saksikan betapa gediknya blog-blog Pakatan Rakyat mengungkit cerita-cerita lama untuk mempertahankan kelakuan mereka tempoh hari. Akan tetapi mereka ini sudah berasa lebih tinggi dari raja hingga tidak terfikir oleh mereka untuk meminta maaf kepada Sultan Azlan. Mengapa perlu terkinja-kinja dan bersungguh-sungguh mengalihkan perhatian orang ramai? Mereka tidak sedar bahawa ianya tidak sama sekali memadam penderhakaan mereka. Ianya hanya dapat dimaafkan jika Anwar Ibrahim, Mohd Nizar dan seluruh barisan exco lama Perak memohon ampun di atas kesalahan mereka tempoh hari.

    Oleh kerana Pakatan Rakyat adalah satu pakatan yang tidak bertanggungjawab, mereka akan terkial kial mencari sebarang justifikasi untuk membolehkan mereka menderhaka kepada Sultan. Dan dengan pantas, mereka menjumpainya. Tiada cara lain, kecuali dengan mengungkit sejarah. Mereka berharap sejarah akan berpihak kepada mereka. Sayang sama sekali, sejarah juga tidak akan melepaskan mereka dari kesalahan derhaka.

    ‘Orang lain boleh buat, mengapa kita tidak boleh? Yang penting, Umno juga perlu dilihat sebagai penderhaka.’ Itulah yang mereka lakukan.

    Yang anehnya, dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim berkata yang beliau akan cuba mengembalikan kuasa Raja Raja. Bagaimana hendak mengembalikan kuasa raja-raja jika kita berkurang ajar kepada mereka? Saya khuatir Anwar Ibrahim akan sukar membuat ucapan kelak kerana lidahnya makin bercabang.

    Ada yang lebih aneh lagi. Di dalam blog-blog pro Pakatan Rakyat, para penyokong mereka pula ingin melucutkan kuasa raja raja kerana marahkan kepada Sultan Azlan. Pelik bin ajaib! Telatah Anwar Ibrahim dan para pengikutnya ternyata mengaibkan institusi DiRaja.

    Ingat, jika ingin mengungkit cerita lama seperti kes Tan Sri Ghazali Jawi dan insiden Datuk Idris Jusoh dengan pemangku Sultan Terengganu, maka janganlah anggap diri sudah terlalu sempurna dari sebarang kesalahan. Janganlah menganggap diri sudah terlalu gah dan sudah lebih makan garam dan telah banyak membuat jasa.

    Tindakan tidak meminta maaf menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat percaya diri mereka kebal dan boleh melakukan sesuka hati terhadap raja mereka sendiri. Sekurang-kurangnya, Umno pernah berjasa besar kepada Raja Raja Melayu sebelum itu. Apakah jasa Pakatan Rakyat kepada Raja Raja Melayu kini?

    Ada? Tunjuk isyarat lucah ada lah!

    Ingin diingatkan bahawa kes Tan Sri Ghazali Jawi amatlah berlainan sekali dengan peristiwa Anwar Ibrahim dan Mohd Nizar menderhaka kepada Sultan Azlan. Tan Sri Ghazali Jawi berhenti walaupun mempunyai majoriti dari wakil rakyatnya. Tun Hussein Onn bagaimanapun telah menghormati kehendak Sultan Idris dan melucutkan jawatan Menteri Besarnya. Sultan Idris telah berkehendakkan sesuatu di luar batasan sistem perundangan Perak. Jika contoh ini yang diambil oleh Pakatan Rakyat, maka jika Sultan Azlan bernazar tidak mahu Mohd Nizar sebagai Menteri Besar baginda, adakah Anwar Ibrahim akan menghormati Sultan Azlan dan mengarahkan Mohd Nizar supaya bersabar dan menerima sahaja titah Sultan? Tidak sama sekali. Kita telah melihat, mendengar dan membaca mengenai kebiadapan mereka.

    Oleh itu, tidak usahlah hendak mendabik dada berlagak hero. Bertelur sebiji, riuh sekampung. Contoh yang dikemukakan tidak boleh dipakai. Alangkah cocok dan manis jika kita dapat melihat para pemimpin Pakatan Rakyat menelan ego mereka dan meminta ampun kepada baginda Tuanku.

    Adakah pemimpin PAS terlalu maksum untuk meminta ampun bagi pihak penyokong mereka? Anwar Ibrahim tidak mungkin akan meminta maaf kerana kita sudah tahu mengenai personalitinya. Beliau tidak akan sekali-kali merendahkan diri untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan. Beliau terlalu maksum untuk itu semua!

    Atau adakah mungkin para pemimpin di dalam Pakatan Rakyat tidak percaya kepada institusi Raja lagi? Adakah seorang bernama Sultan Azlan tidak berhak mendapat sembah hormat yang sewajarnya? Atau mungkin mereka berfikir bahawa orang bernama Sultan Azlan hanya berhak ditempelak sahaja? Boleh dimaki dan dicerca di dalam blog, di dalam ceramah, di dalam surat-surat khabar Pakatan Rakyat, di mana-mana sahaja. Begitu? Jika lidah sudah bercabang, sifat sifat baik di dalam diri manusia dengan sendirinya akan terhakis.

    Jika Pakatan Rakyat sudah tidak hormat kepada institusi Raja Melayu walaupun hanya baru berkuasa selama 11 bulan, mana mungkin mereka akan melindungi dan menghormati masyarakat madani di masa yang akan datang.

    Inilah musibah yang akan menanti rakyat jika Pakatan Rakyat terus menerus didodoi oleh sokongan mereka yang terlalu taksub kepada sifat sifat orang yang lidah bercabang.

    ReplyDelete