Saturday, February 14, 2009

Sokongan untuk UMNO semakin merosot ...

Suasana politik di Perak mulai tenang. Semakin tenang berbanding minggu lepas. Rakyat telah boleh berfikir secara rasional setelah seminggu emosi menguasai akal dan diri. Kekecewaan penyokong PR dan kegembiraan Melayu UMNO selama seminggu itu, telah mengheret institusi istana kedalam ‘permainan rakyat’ ini. Pemimpin dan penyokong PR dilabelkan sebagai penderhaka oleh UMNO sehingga ada cadangan melarang penderhaka ini daripada memijakkan kaki di bumi Perak. Dan PR pula cuba mempertahankan diri dengan melontarkan idea berfakta, bahawa penderhakaan dimulakan oleh UMNO. UMNO sebenarnya telah awal menderhaka dalam keadaan sedar. PR pula ‘termenderhaka’ tanpa sedar kerana tidak menjangka UMNO sanggup mengelat melanggar batas-batas demokrasi.

Dalam tempoh seminggu, penyokong PR berbelah bahagi adakah benar PR menderhaka? Institusi istana amat dihormati oleh Melayu beraja berbanding dengan Melayu Pulau Pinang dan Melaka. Melayu UMNO semakin gila dan galak berhimpun dengan membuat ratusan laporan polis akan penderhakaan PR ini. Melayu UMNO telah menghangatkan isu penderhakaan sehingga ada di kalangan orang UMNO sendiri begitu jelak dengan pemimpin UMNO. MB Nizar yang dikatakan ‘derhaka’, Karpal Singh pula yang diserbu!

Sehari dua ini, saya berpeluang terdengar dan mendengar perbualan Melayu di kampung-kampung tradisional. Kampung tradisional adalah kubu-kubu kuat UMNO untuk UMNO bernafas. Ada kampung yang sememangnya mengenali saya sebagai penyokong PR, ada juga beberapa kampung yang masih yakin bahawa saya adalah pendokong setia UMNO. Pendokong setia Li Zahari. Maklumlah kami boleh bertepuk bertampar setiap kali bersua muka. Ada pula kampung yang hanya boleh agak-agak saya condong ke arah mana. Penduduk sebaya dan yang lebih tua daripada saya amat mengingati wajah saya. Mereka akan mengingati saya tatkala datangnya bulan puasa bulan ramadhan. 30 tahun lalu, setiap petang mereka akan menunggu kehadiran saya dan rakan-rakan di tepi jalan besar .. Ais .. ais .. buku kecik sekupang, buku besor dua kupang. Lumur dengan serbuk papan sebelum bungkus dengan surat khabar lama. Seronok mengayuh basikal beraga di belakang sambil menjual ais batu.

Sekiranya minggu lepas ada di kalangan penyokong PR yang hampir percaya bahawa mungkin benar PR telah menderhaka, hari ini sokongan mereka semakin jitu kembali kepada PR. Seminggu itu juga Melayu UMNO amat percaya bahawa PR memang menderhaka dan mesti dihukum. Hari ini apabila emosi telah kendur, akal mula mengambil tempat di hati Melayu. Akal mula berfikir secara waras. Akal mula membuat keputusan bahawa PR tidak menderhaka. PR telah ‘dikenakan’ oleh UMNO. UMNO kampung telah berani mengakui akan kesilapan UMNO bangsawan. UMNO kampung tidak lagi segembira minggu lepas. UMNO kampung malu berhadapan dengan JKKK PR. UMNO kampung rasa bersalah untuk mengambil atau menerima kunci dewan. UMNO kampung tidak sanggup masuk ikut pintu belakang. UMNO kampung percaya PR tidak bersalah. UMNO kampung yang cari makan dengan UMNO sahaja yang percaya UMNO di pihak yang benar. Namun jumlah UMNO yang percaya ini tidaklah seramai jumlah UMNO yang tidak lagi percaya kepada UMNO bangsawan. Inilah natijah yang harus dikesali oleh UMNO bangsawan.

UMNO kampung telah mula percaya dan yakin bahawa UMNO telah tiada masa depan. Kekalahan UMNO dalam PRU Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebenarnya telah menazakkan nyawa UMNO. Seperti orang sakit tenat. Seminggu koma, kemudian sedar tetapi tetap terlalu tenat. Tidak semena-mena dalam tenat, ia lalu makan, boleh bersembang, boleh senyum walaupun sebelum itu terlantar sakit. Dalam kegembiraan seisi keluarga kerana dia boleh makan dan boleh sembang, lantas segera memberitahu sanak saudara bahawa dia telah sedar. Tetiba esoknya keluarga terkejut kerana dia telah menghembuskan nafas yang akhir. Innalillah hirojiun.

UMNO sedang nazak, tetapi tetiba bangun memerintah Perak. UMNO seluruh negara gembira kerana UMNO telah pulih dan sihat kembali. Tidak mungkin UMNO boleh menjadi rajawali. UMNO tidak akan mampu melakukan transformasi pada tubuhnya. Selepas seminggu UMNO memerintah Perak, tiada apa yang boleh dilakukannya. Tiada apa yang boleh diberikan kepada rakyat Perak, hatta tiada apa yang boleh dihadiahkan kepada ahli UMNO sendiri. Lihatlah betapa lemahnya MB UMNO sehingga memerlukan tiga penasihat bertaraf exco. Memang UMNO sedang sakit tenat, tetapi tidak mahu mengakuinya. Seperti orang sakit tenat akan pergi jua selepas tetiba lalu makan, lalu sembang. Begitulah juga dengan UMNO yang akan pergi selama-lamanya. UMNO mungkin berkubur di Perak.

Pada tahun 1946, Dato’ Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab begitu diingati kerana memperkenalkan UMNO di Perak. Tidak keterlaluan jikalau saya katakan, bahawa tahun 2009 ini, UMNO akan dikuburkan di Bukit Gantang.

2 comments:

  1. Salam Mamamat,
    Ungkapan "Pada tahun 1946, Dato’ Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab begitu diingati kerana memperkenalkan UMNO di Perak. Tidak keterlaluan jikalau saya katakan, bahawa tahun 2009 ini, UMNO akan dikuburkan di Bukit Gantang." sungguh cantik. Semoga menepati realiti.

    ReplyDelete
  2. Mamamat.. takan nulis dari rumah aja... mai la rumah MB nii aku, MSK, Albanjari, Sya, Dogugon, Ciberboron dok ada ni.. mai la tidok kat sini.. nanti aku boleh ambik gambar hang pulak...

    ReplyDelete