Monday, February 2, 2009

YAB MB .. Bubarkan Sahaja DUN Perak

Izinkan saya untuk menongkah arus seketika. Keadaan politik di Perak masih bercelaru. Sebentar tadi dua exco telah mengosongkan kerusi DUN mereka. Pada waktu yang sama juga Timbalan Speaker Perak diwawarkan telah menyertai MCA. Terkini semua mereka telah menafikannya. Timbalan speaker masih kekal bersama DAP. Dua exco pula membuat penafian telah mengosongkan kerusi DUN mereka. Dua exco ini tidak langsung menyebut sokongan dan komitmen mereka kepada PR. Bermakna mereka berdua telah pergi meninggalkan kerajaan PR Perak. Semoga Jamal dan Osman mampu hidup berbahagia dalam dunia ‘bebas’ mereka.

Sekiranya betul dua exco mengosongkan kerusi DUN, bermakna dua PRK serentak dalam tempoh 60 hari di DUN Behrang dan DUN Changkat Jering. PR Perak menjadi 31 + 1 – 2 = 30. Sekiranya timbalan speaker benar-benar menyertai MCA, PR menjadi 30 – 1 = 29. BN pula 28 – 1 + 1 = 28. Maknanya sementara menunggu dua PRK ini, PR 29 dan BN 28. Ditakdirkan BN menang dua PRK ini, BN akan menjadi 28 + 2 = 30. PR pula masih kekal di angka 29. Ketika ini BN akan menguasai kembali Negeri Perak. Sekiranya timbalan speaker tetap setia dengan DAP, PR akan terus memimpin Perak walaupun mungkin menghadapi kekalahan di kedua-dua DUN tersebut. Jikalau menangpun cerita lama akan tetap berulang dan PR Perak akan hanya membuang masa melayan kerenah politik yang tiada kesudahan sehinggalah PRU 13.

Jamal mewakili DUN Behrang. Kapt. (B) Osman pula mewakili DUN Changkat Jering. Sepanjang sepuluh bulan mereka menjadi wakil rakyat dan exco, tiada langsung program yang jelas kepada pengundi di kawasan mereka. Jamal tidak begitu bijak merencanakan pembangunan ekonomi pertanian di Behrang. Osman pula gagal menjadikan Changkat Jering sebagai destinasi percutian bertaraf dunia. PR akan kehilangan banyak undi di sini. Silap gaya boleh kalah kerana liabiliti mereka. Bersediakah PR untuk kalah di DUN-DUN ini. Sedikit sebanyak kemenangan BN dalam PRK ini akan mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada BN. PR harus memikirkan beberapa langkah untuk membunuh BN secara total.

Saya berpendapat lebih baik YAB MB Perak bubarkan DUN Perak. Jangan sayangkan jawatan. Sayangilah rakyat dan PR. PR berpotensi akan menang di banyak kerusi milik UMNO. DAP dijangka mudah mengekalkan rekod bersihnya di 18 DUN. PAS mampu mengekalkan 6 DUN yang sedia ada. PKR pula mungkin hilang dua atau tiga DUN kerana kelemahan wakil rakyat yang sedia ada. Dan dua atau tiga DUN inilah yang menjadi target BN. Tetapi harus difikirkan secara teliti bahawa PR berpeluang untuk menang di 12 DUN milik UMNO sekiranya DUN Perak dibubarkan. Kemenangan PR ke atas 10 atau 12 DUN milik UMNO ini nanti bukan sahaja mengukuhkan pemerintahan PR di Perak tetapi juga akan mampu mempusarakan UMNO. Tambah-tambah dalam suasana UMNO telah kehilangan ‘mood’ pilihanraya setelah kalah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu serta tindakan keluar parti ADUN Bota..

12 DUN berkenaan ialah N5 Selama, N6 Kubu Gajah, N15 Trong, N19 Chenderoh, N21 Lintang, N23 Manjoi, N35 Manong, N36 Pengkalan Baharu, N 39 Bota, N43 Sungai Rapat, N48 Sungai Manik dan N49 Kg. Gajah. Mungkin gelombang kemasukan YB Dato’ Nasarudin Hashim mampu menenggelamkan UMNO di N38 Belanja. Di DUN-DUN yang dinyatakan ini menyaksikan UMNO hanya menang majoriti di bawah 1000 undi. Cuba kita renungkan sekiranya kerusi yang dimenangi PR ialah 29 + 10 = 39. Ketika ini bukan sahaja UMNO Perak tidak bermaya, tetapi UMNO Malaysia mungkin tidak sempat mengadakan Mesyuarat Agongnya untuk menobatkan Najib sebagai Presiden UMNO.

Kepada pimpinan PR Perak, fikir dan timbang-timbangkanlah saranan agar DUN Perak dibubarkan sebaik sahaja selesainya Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 3 Februari 2009 ini.

Daulat Tuanku.

2 comments:

  1. Salam Yob..
    Kalau boleh la Mamamat oi.. Penat yang itu hari rasa baru minggu lepas aja.. kalau 2 PRK tu OK lah.. tapi kalau satu negeri DUN Pasir Panjang nak mula balik.. adui.. kalau boleh jangan la... tak sanggup YOb.. tapi kalau dah terpaksa juga.. teruskanlah.. lawan tetap lawan...

    ReplyDelete
  2. Seorang pemimpin nak cover malu dek tahi yang terpalit di pantai timur sehingga sebuah negeri bakal bergolak.

    Kenapa harga maruah seorang wakil rakyat sangat murah? Mereka tak fikir halal haram ke? Amanah pengundi yang diberikan, tak takut balasan dunia dan akhirat ke?

    Semua watak dalam sitcom ini adalah Melayu beragama Islam.

    Sungguh memalukan!

    Harap MB akan bubakkan DUN Perak, ada chance aku (org teluk intan) balik ngundi.

    Short Talk

    ReplyDelete