Monday, February 16, 2009

Bukit Seguntang ke Bukit Gantang

Sebelum teman berkelana keluar dari negeri ini barang seminggu dua, teman harap apa yang teman tulis ini akan menjadi kenyataan sekembalinya teman dari Bukit Seguntang. Sebelum kaki teman menjejakkan kaki di Bukit Gantang, teman mahu memijak tanah emas dan perak di Bukit Seguntang terlebih dahulu. Teman rindukan nasihat Wan Empok dan Wan Malini perihal Bukit Gantang. Teman juga mahu mendapatkan kepastian tentang perkhabaran yang dibawa angin bahawa akan berlaku lagi kisah berkisah di negeri ini. Kisah keluh kesah.

Negeri teman yang panjang sepanjang sungai mempunyai dua bendahara. Seorang Mamak Bendahara dan seorang lagi Bendahara Buangan. Pembesar-pembesar negeri dan rakyat jelata memahami bahawa tuanku sultan sedang menguji akan kebijaksanaan dan keikhlasan bendahara-bendaharanya demi kemakmuran dan keceriaan negeri ini di masa akan datang. Alangkah bertuahnya negeri ini mempunyai raja yang pintar. Sudah tentu raja yang pintar memerlukan bendahara yang bijaksana. Raja pintar bendahara bijaksana negeri makmur rakyat bahagia.

Menurut angin, ada di kalangan pembesar yang belot kerana tamakkan kuasa dan tamak harta sedang menderita zahir batin. Mereka telah sedar bahawa kuasa dan harta bukan jaminan hidup CERIA. Mereka mahu kembali, tetapi kehendak mereka tidak bersambut, malah diherdik dengan sumpah seranah. Kerana kalianlah, kami rakyat saling tuduh menuduh kononnya kami telah derhaka kepada tuanku sultan yang amat kami sanjung tinggi ini. Kerana kalianlah kami membazir masa meninggalkan kerja rezeki keluarga demi memaklumkan perihal sebenar kepada rakyat. Namun Bendahara Besar Dalam Penantian telah membuat keputusan, pembesar yang belot tidak akan diterima lagi selagi berjawatan pembesar. Jikalau pembesar yang belot ada maruah, kosongkan kerusi meja supaya rakyat jelata boleh mencuba nasib menjadi pembesar. Pembesar belot angguk-angguk minta diri berfikir barang seminggu dua.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik bermain hujan batu di negeri sendiri. Pepatah tradisional nenek moyang Melayu telah mengungkapkan biar miskin di negeri sendiri daripada kaya di negeri orang. Ada wang berjuta di negeri orang tetapi tidak boleh digunapakai di negeri sendiri. Hati mula berkonflik dengan pelbagai perasaan gundah gelana, takut, berang, kedekut tangkai jering ... Hati mula rindu pada sanak saudara dan kampung halaman. Telah sebulan berlalu, sekadar SMS pengganti diri. Rindunya isteri menerima SMS .. Selamat Malam Sayang.

Setibanya nanti di Bukit Seguntang, teman berharap sangat akan dapat melihat padi berbuahkan emas bertangkaikan perak. Teman juga mahu melihat akan manisnya senyum Wan Empok dan Wan Malini menyambut teman di dango mereka. Teman mahu berbual tentang alam, tentang kehidupannya, tentang keimanan dan tentang kesetiaan kepada Sang Sapurba. Teman mahu bertanya secara firasat betulkah gergasi di dua tebing sungai akan meninggalkan tebing jagaannya? Betulkah gergasi mahu merawat duka nestapa di Bukit Seguntang? Betulkah gergasi meratap hiba di sejadah Allah memohon keampunan?

Teman juga diberitahu bahawa Mamak Bendahara tujuh saudara tidak mampu mengurus negeri. Anak buah mereka telah meragam kerana tidak dibelai. Khazanah negeri tergantung tidak bertali. Rakyat terlalu rindukan Bendahara Buangan. Wan Empok dan Wan Malini memberitahu bahawa Bendahara Buangan sedang menemani rajawali di puncak gunung berbatu. Bendahara Buangan akan pulang bersama rajawali seawal-awalnya seminggu dua atau selewat-lewatnya sebulan dua.

Bendahara Buangan akan bersama rajawali ke Bukit Gantang.


1 comment:

  1. Selamat berangkat pujangga mamamat. Hamba doakan molek belakalah semuanya sepanjang berangkat tuanhamba pergi dan pulang.

    Hamba di sini terus berdagang bersama memanda msk, sya, albanjari, dugong darat, cenangau, topeng perak dan manjungmai. Mudah-mudahan dagang kami dagang bertempat dan tiadalah hanya musafir lalu.

    Jika diizin wan malini, bawakan kami sehelai daun emas dari bukit seguntang.

    ReplyDelete