Tuesday, February 10, 2009

Rakyat persembahkan semangat rajawali

Selasa, 10 Feb. 2009. Perak masih menjadi tumpuan. Ada tiga peristiwa penting yang berlaku hari ini. Di Kuala Kangsar, istana meneruskan majlis angkat sumpah enam exconya. Di Mahkamah Tinggi Ipoh, dua exco tidak hadir kerana sakit secara bersama lagi. Di Ipoh juga MB Nizar dihalang daripada memasuki pejabatnya di SUK. Beliau pulang semula ke kediaman MB dengan mengistiharkan bahawa pejabat MB Perak telah berpindah ke kediaman MB berkuatkuasa serta merta.

Melalui siaran buletin TV3, PM Lah telah memberi isyarat jelas supaya MB Nizar mengosongkan kediaman MB Perak seberapa segera. Entah di mana pula pejabat baru MB selepas ini. Mungkin di Kamunting atau di ceruk-ceruk kampung bersama rakyat. MB Nizar akan terus mentadbir dan mengurus rakyat tanpa perlukan wang dan penguatkuasa. Tinggallah Camry bersama Zambry. MB Nizar akan buktikan kepada UMNO bahawa wang bukan segala-galanya. Rakyat setia yang bersama MB Nizar tidak mengharapkan wang atau elaun tertentu untuk mengajak rakyat mengesakan Allah. Ketentuan Allah ini disambut dengan sabar sebagaimana kehendak tuanku sultan. Titah dijunjung bersambut usaha. MB Nizar dan rakyat tuanku akan berkelana di dalam negeri mencari dan mendapatkan rajawali untuk dipersembahkan kepada tuanku.

… Burung rajawali boleh hidup sehingga usia 70 tahun. Ketika burung rajawali mencapai usia 40 tahun, dia harus melakukan transformasi tubuh yang sangat menyakitkan. Rajawali sendiri yang menentukan sama ada dia mahu hidup 30 tahun lagi atau cukup setakat usia 40 tahun. Ini kerana pada usia 40 tahun, paruh rajawali sudah sangat bengkok dan panjang hingga ke leher yang menyukarkannya untuk makan dan mencari makan. Kuku cakarnya tidak lagi tajam. Begitu juga dengan bulu badan dan kepak yang sangat tebal sehingga menyukarkannya untuk terbang tinggi.

Apabila rajawali memutuskan untuk hidup lebih lama lagi, ia harus melakukan transformasi tubuh yang amat menyakitkan. Rajawali terbang dan membuat sarang di kawasan puncak pergunungan yang tinggi dan berbatu. Rajawali akan mematuk-matuk paruhnya pada batu sehingga paruhnya patah dan tercabut daripada tubuh. Paruh baru yang tumbuh akan memudahkan rajawali mencabut kukunya satu persatu. Sementara menunggu kuku barunya tumbuh, Rajawali akan mencabut bulu kepaknya pula sehingga togel. Setelah bulu kepaknya kembali tumbuh, rajawali akan pulang semula ke kawasan pemakanan untuk menjalani semula kehidupan normalnya. Inilah transformasi yang menyakitkan tubuh rajawali dalam tempoh setengah tahun…

Kami rakyat pimpinan MB Nizar akan pulang sebagai rajawali untuk menjunjung kembali titah tuanku. Kami rakyat MB Nizar berjanji akan mendaulah dan mendaulatkan kembali tuanku melalui bicara raja-raja Melayu zaman berzaman. Tuanku adalah payung negeri. Tuanku adalah sultan kami. Tiada terlintas langsung di hati kami untuk memberontak, jauh sekali untuk menderhaka.

Ampunkan kami tuanku.

5 comments:

  1. Salam Mamamat,
    Mungkin hampir masanya KAMAR ambil alih?
    Ramai ke yang faham KAMAR?

    ReplyDelete
  2. Mamamat....
    Tak usahlah jauh-jauh sangat, ....

    "ITU PERAK LUMPAT MACAM PARNAH DANGAR BAH !!"

    Isu melompat parti mendapat tanggapan berbeda daripada pelbagai pihak. Ianya boleh dilihat daripada 4 pendekatan :

    i. Pendekatan perundangan
    ii. Pendekatan Moral
    iii. Pendekatan Politik
    iv. Pendekatan istana

    Dari segi perundangan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya menolak supaya diadakan pilihanraya kecil adalah tepat berasaskan kes-kes yang lalu. Yang dipertikaikan Pakatan Rakyat yang sepatutnya menolak adalah mahkamah bukan SPR. Bagaimanapun berasaskan keputusan mahkamah lalu tindakan tersebut tidak salah. Demikian juga dengan kuasa Sultan Perak untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri juga dibuat mengikut budibicara Tuanku dan mengikut peruntukan perlembagaan Undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak. Walaupun tidak mengikut adat, ini tidak menghalang mana-mana pihak untuk cuba mencabarnya di mahkamah.

    Dari segi moral pula pada pendapat saya pada dasarnya memang tidak wajar seseorang wakil rakyat mengkhianati amanat yang telah diberikan oleh pengundi-pengundi kawasannya. Ini merupakan satu amanah yang harus mereka pikul sehingga habis tempoh 5 tahun. Walaupun ini bukan kesalahan moral sex atau jenayah, tetapi ia dilihat dari sudut etika atau kewajarannya.

    Masalahnya sekali lagi isu wakil rakyat melompat parti tidak merupakan satu kesalahan perundangan dan ia merupakan hak bagi wakil rakyat yang berkenaan untuk berbuat demikian. Ini dapat dilihat pada keputusan Mahkamah Agong tahun1992 dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & lain-lain vs Nordin Salleh & lain-lain. Dan kes seperti ini telah berlaku berkali-kali dalam sejarah pilihanraya Negara.

    Apa yang rakyat perlu tahu ialah bahawa pengambilalihan kerajaan negeri Perak melalui ‘lompat parti’ adalah mengenai permainan politik kuasa atau ‘power play’ daripada pihak yang berkuasa atau yang ingin berkuasa. Kerajaan atau pembangkang akan bersetuju atau tidak bersetuju tindakan tersebut adalah bergantung kepada pihak mana yang akan mendapat keuntungan daripada kesan lompat itu.

    Jika pihak pembangkang yang mungkin mendapat keuntungan maka ianya akan dihalalkan dengan pelbagai cara oleh pemimpin-pemimpin mereka samada dari parti yang memanggil dirinya Islam atau perkauman mahupun keadilan. Jika merugikan maka timbullah soal menyalahi perlembagaan, menyalahi hak asasi manusia, tidak bermaruah dan sebagainya.



    Dan itulah yang berlaku apabila Adun Bota, Datuk Nasharuddin Hashim menyertai parti Keadilan yang disambut dengan girangnya oleh Anwar Ibrahim kerana membawa keuntungan kepada Pakatan Rakyat Negeri Perak. PAS juga akan bergembira jika Datuk Kapt (B) Zahar dari Selangor yang menyertai PAS baru-baru ini adalah seorang wakil rakyat. Malangnya beliau tidak.

    Adakah kita mendengar samada BN atau PAS yang menguasai kelantan dan Terengganu pernah cuba bersungguh-sungguh untuk mengubal undang-undang negeri bagi menghalang perbuatan lompat parti ini.

    Apabila Anwar berbulan-bulan mengadakan perang saikologi dengan rancangan mengambilalih kerajaan pada 16 September 2008 sehingga menimbulkan keadaan ketidaktentuan Negara di bawah Perdana Menteri yang lemah pernah kita mendengar pendirian tegas PAS atau DAP atau peminpin-peminpin keadilan atau Suruhanjaya hak asasi manusia yang menganggapnya sebagai suatu kesalahan atau tidak bermoral?.

    Padahal Negara baru ‘kebah’ menghadapi deman pilihanraya umum yang ke 12 dan keputusannya amat memberangsangkan kepada parti pembangkang sedangkan keadaan ekonomi memerlukan rawatan yang serius akibat kegawatan ekonomi global. Yang jelas permainan pengambilalihan ini terus di mainkan hingga berkejaran ke Taiwan..

    Dimana penganalisa dan pengulas politik ketika itu? Dimana pemimpin-pemimpin yang bercakap soal prinsip perjuangan yang menentang pengambilalihan melalui pintu belakang. Dimana juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ?. Presiden PAS, Haji Hadi sendiri tidak bercakap mengenai keperluan prinsip pembubaran untuk penghakiman rakyat ? Yang disebut adalah kepastian agar jumlah anggota parlimen Melayu mestilah merupakan jumlah yang majoriti.

    Mungkin ada yang berpendapat bahawa Anwar ketika itu mempunyai senarai yang cukup bilang dan beliau berhajat ingin mengadap DYMM SPB Yang Dipertuan Agong untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat yang baru. Soalnya mengapa beliau tidak berbuat demikian ?. Tetapi menggunakan alasan bahawa Perdana Menteri takut untuk mengadakan sidang parlimen untuk menguji undi tidak percaya kepada beliau ?

    Sebenarnya apa yang perlu Anwar buat adalah memanggil sidang akhbar bersama-sama ahli parlimen BN yang menyertai beliau dan menghantar surat kepada Yang Dipertua dewan bagi menyatakan beliau mempunyai cukup bilangan untuk membentuk kerajaan dan kemudian mengadap SPB Yang Di Pertuan Agong.

    Jika Agong perkenan maka prosesnya sama seperti apa yang berlaku di Perak ataupun pembubaran dewan rakyat. Maka tumbanglah kerajaan pimpinan BN. Rakyat pun akan membuat penyesuaian dengan suasana kerajaan baru. Tetapi masalahnya beliau banyak bercakap tapi kandungannya ‘illek’.

    Mana ada Perdana Menteri dalam dunia yang memiliki majoriti wakil rakyat dengan ikhlas mahu mengadakan sidang khas parlimen supaya dilakukan undian tak percaya pada beliau ? Atau mungkin ianya merupakan pengalihan daripada isu peribadi yang Anwar hadapi dan beliau tidak mempunyai senarai mencukupi yang dimaksudkan.

    Apa yang berlaku di Perak adalah apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Najib mempunyai jumlah senarai yang cukup untuk dipersembahkan kepada Sultan Perak dan Baginda telah berpuas hati bahawa kerajaan BN mempunyai bilangan yang majoriti untuk membentuk kerajaan baru. Baginda telah menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan bagi mengelakkan politiking pilihanraya yang berpanjangan melalui pembubaran dewan.

    Semenjak Mac 2008 keadaan politik negara sering terganggu dan tidak pernah tenang. Itu adalah hak baginda berpandukan perlembagaan. Kita harus ingat baginda bukan sahaja seorang Raja yang menggunakan kuasa dan budibicara, tetapi baginda juga adalah bekas ‘Lord President’ yang amat disegani.

    Berapa kali mahkamah telah membuat keputusan bahawa surat yang ditandatangani oleh ADUN untuk tujuan meletakkan jawatan tanpa tarikh dan tanpa kerelaan beliau adalah tidak sah. Tektik menandatangani surat sebagai ikatan kepada kesetiaan calon telah dibuktikan mahkamah sebagai tidak sah.

    Karpal Singh sebagai peguam sedar perkara ini. Tindakan Pakatan Rakyat yang mahu menyaman Sultan Perak ternyata satu lagi gimik politik balas membalas untuk dipanjangkan sehingga pilihanraya yang ke 13.

    Ada yang mengatakan mengapa melalui pintu belakang dan tidak melalui pembubaran dewan. ?. Maka timbullah tuduhan tidak bermaruah, belot, khianat dan sebagainya. Singkat sungguh ingatan manusia seperti ini. Dua ADUN PKR yang keluar parti dianggap sebagai rasuah dan berkualiti rendah.

    Soalnya mengapa orang yang sama menuduhnya kini rasuah dulu menganggapnya sebagai konspirasi dan tidak perlu digantung jawatan EXCO sementara menunggu perbicaraan ?. Sekarang ini soal prisip samada rasuah atau konspirasi pun kena ikut warna bendera politik !!. Sekali lagi ini bukan sangat soal prinsip perjuangan tetapi permainan politik pihak yang berkenaan.

    Lupakah kita bagaimana Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri satu ketika dulu pernah menjadi ‘master mind’ dalam pengambilalihan kerajaan negeri Sabah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan menguruskan pelompatan beberapa ahli-ahli PBS kepada BN pada pilihanraya negeri tahun 1994.

    Ketika itu PBS menguasai dewan negeri Sabah dengan 2 kerusi majoriti dengan menguasai 25 daripada 48 kerusi dewan negeri. Maka muncullah nama-nama seperti Yong Teck Lee, Lajim Okin dan lain-lainnya. Ketua Menteri Sabah yang berpengaruh ketika itu adalah Datuk Joseph Pairin Kitingan dari kaum Kadazan.

    Saya sempat berbual dengan Datuk Lajim Okin yang merupakan ADUN PBS ketika itu yang kini merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan. Beliau menceritakan bagaimana Anwar menalipon beliau supaya menunggu di Bilik Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Subang, bagi membincangkan isu melompat parti bersama-sama ADUN PBS yang lain. Maka terjadilah peristiwa pengambilalihan kerajaan negeri Sabah melalui pintu belakang.

    Tun Mahathir pun tidak harus lupa kerana beliau ketika itu adalah Perdana Menteri. Tak berbunyipun soal moral atau tidak beretika ketika itu. Sekali lagi salah atau benar nampaknya ikut siapa yang untung. PBS ketika itu berada dalam keadaan yang kukuh, jika diadakah pilihanraya semula sudah pasti melalui sikap anti Semenanjung ketika itu PBS akan memenanginya.

    PBS berpendapat bahawa kejayaan BN mengambilalih kerajaan negeri tahun itu hanyalah kerana wakil rakyatnya (PBS) menyertai BN dan bukanlah kerana sokongan rakyat. Belaskah Anwar kepada suara rakyat yang telah membuat keputusan memilih PBS? Pekakah Anwar kepada prinsip kuasa rakyat?



    Tidak insafkah Anwar terhadap perbuatannya semasa di dalam UMNO maka beliau mahu mengulanginya dalam Pakatan Rakyat melalui Rancangan September 16?. Begitu juga cubaan untuk menarik ahli parlimen dari SAPP Sabah yang gagal melalui Datuk Yong Teck Lee.

    Ada yang berpendapat isu lompat adalah hak cipta milik UMNO. Soalnya, orang yang dalam UMNO ketika itu adalah Anwar dan beliau cuba melakukan perkara yang sama melalui Pakatan Rakyat melalui rancangan pintu belakang 16 September 2008. Bagaimana kalau rancangan itu benar-benar menjadi kenyataan?.

    Sebenarnya permainan Anwar adalah seperti senjata makan tuan. Senjata itulah dahulu yang digunakan untuk PBS dan senjata itulah memakan dirinya sendiri sekarang. Bekas-bekas pemimpin PBS pasti ketawa besar..

    Tetapi politik punya alasan yang tersendiri untuk berbuat demikian. Rakyat mungkin marah tindakan tersebut tetapi dalam kes Selangor pada pilihanraya 1969, melalui lompatan wakil rakyat DAP lah yang telah menyelamatkan kedudukan orang Melayu sehingga hari ini. Jika tidak corak politik Selangor akan berterusan seperti Pulau Pinang.

    Saya setuju kita perlu beretika tetapi kita harus istiqamah mengenainya. Kita perlu meletakkan standard moral yang tinggi bagi pemimpin politik. Tetapi janganlah panggil ianya rasuah jika kita boleh mendapat keuntungan dan di panggil konspirasi jika kita beroleh kerugian.

    Prinsip-prinsip keadilan, moral, kebebasan dan perjuangan bangsa dan agama adalah prinsip mulia yang harus mengatasi permainan politik dan ia harus dijunjung pada semua masa oleh semua warna kepartaian.

    Yang banyak diambil mudah oleh Pakatan Rakyat di Perak adalah peranan institusi Raja atau istana. Raja Nazrin telah berkali-kali membayangkan keperluan menjaga hak-hak kepentingan bangsa Melayu, Islam dan Institusi Raja.

    Walaupun Raja adalah insan biasa namun mereka adalah simbol institusi yang memayungi kepentingan bangsa. Semenjak PR memerintah, kaum bukan Melayu nampak begitu ghairah mencabar perkara-perkara dasar ini dan ini tidak disenangi istana.

    Kes pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada kampong-kampong baru adalah salah satu simbolik yang menyakitkan perasaan orang Melayu dan Raja Melayu. Kita faham ini disebabkan DAP merupakan parti politik yang menang majoriti dalam Pakatan Rakyat melalui 16 DAP, 7 PKR dan 6 PAS.

    Nizar ambil mudah dengan angkuh mempertahankannya dan menganggap ini sebagai permainan politik semata. Yang pasti ada suatu kuasa penentu di belakang beliau. Demikian juga pengumuman pembubaran dewan sebelum mendapat perkenan Raja adalah suatu kesalahan.

    Itu sebab rakyat Sabah tidak hirau sangat tentang politik rampas kuasa yang berlaku di Perak. Bagi mereka “itu macam parnah dangar
    bah!!”

    ReplyDelete
  3. salam,
    tumpang tanya.. KAMAR tu aper?

    ReplyDelete
  4. Saya pembaca setia Dango Mamamat.. Saya tak mengenali saudara, mungkin dah banyak kali bertembung.
    -BumiPerak

    ReplyDelete
  5. Salam bumiperak
    Tima kasih atas penghargaan mike .. mungkin benar kita pernah bersama di mana2 majlis PR. Mungkin bertemu bahu, mungkin pernah berbual. Insya Allah kita akan saling mengenali nanti.
    Salam hormat

    ReplyDelete