Sunday, January 25, 2009

Rakan se Bota berjiran kampung

Hari ini 25 Januari 2009, YB Dato' Nasarudin Hashim, ADUN Bota telah mengumumkan menyertai PKR. Beliau telah mengotakan janjinya yang akan menyertai parti rakannya Usaili iaitu PKR dihadapan penyokongnya sebagai prasyarat jikalau tewas dalam perebutan Ketua UMNO Bahagian Parit. Janji itu cuba dipenuhi secepat mungkin dalam pertemuan bersama DSAI awal Disember lalu. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat Perak. Pada waktu yang sama juga mahu menghancurkan impian UMNO untuk memujuk atau memerangkap dua ADUN PR Perak menyertai UMNO. Difahamkan ada beberapa lagi ADUN UMNO Perak turut serta dalam pertemuan tersebut.

Sebaik sahaja BN kalah di Perak, UMNO telah mewujudkan dua kumpulan untuk memujuk mana-mana dua ADUN PR menyertai UMNO. Satu kumpulan diketuai oleh bekas Menteri Besar Perak bersama bekas Exco Sukan. Jikalau kumpulan ini berjaya, bekas Exco Sukan akan dilantik sebagai MB. Satu kumpulan lagi diketuai oleh YB Dato' Nasarudin Hashim, bekas Pengerusi FELCRA yang juga dijanjikan jawatan MB jikalau dapat mempengaruhi dua ADUN PR menyertai UMNO. Usaha mereka telah bermula sebelum tengah malam 8 Mac 2008, iaitu pada hari PRU 12. Menariknya kedua-dua kumpulan ini menjadikan Hj. Usaili Alias bekas ADUN Bota sebagai jambatan untuk memenuhi cicita politik mereka. Lebih menarik lagi apabila kedua-dua calon MB UMNO ini datang daripada parlimen yang sama iaitu Parlimen Parit.

Rasuah wang berjuta digunakan oleh kedua-dua kumpulan ini supaya Usaili memujuk mana-mana dua ADUN PKR menyertai UMNO. Hanya jaminan dibibir tanpa kelibat wang. Tetapi Usaili terus bertegas dan berhemah menolak permintaan mereka. Ingat Allah, ingat rakyat. Akhirnya YB Dato' Nasarudin Hashim tidak lagi meneruskan niatnya merampas Perak daripada PR. Bahkan beliau dan rakan-rakannya dapat diyakinkan akan ketelusan serta kejujuran pentadbiran dan pengurusan negeri Perak dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat. Namun sebelum beliau membuat keputusan menyertai PR, beliau mahu mencuba nasib bersama UMNO dahulu. Mencuba nasib merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Parit. Beliau masih menaruh harapan untuk membela nasib rakyat melalui UMNO.

Kumpulan satu lagi masih berusaha memujuk dua ADUN PKR menyertai UMNO. Mereka tidak berputus asa. Cara pujuk dan sogok ternyata tidak berkesan. Masa semakin singkat. Usaili tetap dengan ungkapannya ingat Allah, ingat rakyat. Mereka terus berusaha dan berusaha. Pelbagai agensi kerajaan digunakan untuk memerangkap Usaili dan akhirnya Usaili terpedaya juga melalui lakonan watak Imran. Alhamdullah, Allah masih melindungi pimpinan dan kerajaan PR Perak. Begitu sukar untuk UMNO merapati dan mempengaruhi pimpinan PR Perak. Mereka cuba menyediakan 'sedekah seks' kepada pimpinan PKR Perak, tetapi umpan 'sedekah' ini mungkin hanya dicagut oleh anak seluang sahaja.

Dato' Nasarudin kecewa kerana beliau dipertaruhkan menentang sahabatnya Hj. Usaili Alias di DUN Bota. Beliau mahu terus kekal bertanding di Parlimen Parit. Tetapi beliau akur juga dengan kehendak negeri dan ketua bahagiannya yang mahu beliau bertanding di DUN Bota. UMNO merasakan bahawa Usaili cukup kuat dan bertenaga di DUN Bota. Hanya Dato' Nasarudin sahaja yang boleh membuatkan pengundi di DUN Bota berada dalam dilema nak undi siapa. Nasarudin atau Usaili. Kedua-dua tokoh ini begitu berkarisma di DUN Bota. Kedua-duanya boleh minum semeja bergurau senda usik mengusik. Pengundi begitu selesa dan mesra dengan mereka.

Hari ini Dato' Nasarudin Hashim secara rasmi telah berganding bahu bersama Hj. Usaili Alias membawa wadah perjuangan 'ingat Allah, ingat rakyat' di Perak khususnya di DUN Bota. Kesabaran Hj. Usaili menunggu pengumuman rasmi Dato' Nasarudin menyertai PKR telah menambahyakinkan kita bahawa benarlah janji Allah yang Allah tetap bersama orang-orang yang sabar.

4 comments:

  1. Bloggers & pengomen maya UMNO sedang mengulas segala yang negatif tentang Dato' Nasarudin. Harap mamamat boleh tulis banyak lagi tentang Dato' ni supaya dapat kita nyeghongenkan pemaya2 dacing tu.

    Teman pun ada berita menarik juga tentang 2 lagi YB yg nak berhijrah ke kem kita. Tungguuuuuuuuu!

    ReplyDelete
  2. UMNO perak udah toyak terutama tok Jol

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete