Saturday, January 10, 2009

Catatan Berita Cerita P 36 Kuala Terengganu

Lambaian Laut China Selatan menjadi rinduan saya ketika ini. Saya tidak mempunyai ruang masa yang cukup untuk ke sana bagi memeriahkan kempen PRK. Dalam PRK kali ni, saya tidak mendapat maklumat jelas melalui pemerhatian dan sembang-sembang sambil sarapan nasi dagang kari kepala ikan di Restoran Mak Ngah dekat Jambatan Kuala Ibai. Namun begitu melalui perbualan telefon dengan rakan-rakan Ganu, rindu saya pada PRK ini terubat jua. Tetambah pula harapan PR begitu cerah buat masa ini.

Saya menghubungi empat rakan Ganu tetapi sekadar berjaya menghubungi tiga sahaja. Seorang memang penyokong PAS dari Chabang Tiga berketurunan Tuan Syed. Seorang di Besut penyokong kuat Idris Jusoh tetapi mengundi di Kuala Ibai dalam Parlimen Kuala Terengganu. Setiap minggu beliau pulang ke KT kerana keluarganya di Kuala Ibai. 10 tahun dahulu keluarganya menetap di belakang panggung rex KT, tetapi demi pembangunan KT mereka dipindahkan ke Kuala Ibai. Dekat masjid terapung. Lebih aman dan nyaman kerana jarak Kuala Ibai ke KT hanya sekitaran 8km. Seorang lagi rakan yang baru bertukar ke Penarik dari Perak. Beliau mengundi di Besut tetapi isterinya mengundi di KT. Dalam sembang-sembang sebelum ini, saya simpulkan beliau sebagai pengundi atas pagar. Sukar ditelah siapa yang beliau undi. Kekadang puji UMNO, kekadang puji PAS. Dengan rakan PAS dia akan puji PAS, dengan rakan UMNO dia akan puji UMNO. Dan seorang lagi yang tidak dapat dihubungi memang penyokong setia UMNO yang yang telah kehilangan kerja sebagai Pegawai di Yayasan Pembangunan Keluarga (YBK) yang menjaga Kedai Keluarga pada tahun 1999 sebaik sahaja PAS memerintah.

Tuan Syed dari Tok Ku Chabang Tiga memberitahu PAS akan menang kerana isteri calon PAS berketurunan Wan iaitu sama macam calon UMNO. Rasionalnya ialah generasi lama khususnya pengundi wanita lanjut usia amat menghormati keturunan Wan. Maknanya calon UMNO Wan Farid bukan sahaja berhadapan dengan calon PAS Abdul Wahid tetapi juga berhadapan dengan kredibiliti isterinya Wan Fatimah. Lebih menakutkan UMNO ialah Wan Fatimah adalah seorang guru yang berjawatan PK HEM yang sememangnya diakui mudah rapat dengan keluarga pelajar.

Rakan dari Kuala Ibai pula menggarap dan mengulas bahawa MB Ahmad Said tidak mahu UMNO menang di Parlimen KT. MB mahu UMNO kalah supaya akan lebih banyak peruntukan pusat disalurkan ke Ganu. Inilah masanya Ganu menuntut kembali baki royalti minyaknya. Lagipun Ahmad Said bukan dipilih oleh PM Pak Lah atau bakal PM tak kesampaian, PM Najib. Ringkasnya, Ahmad Said peduli apa UMNO kalah? Kalah lagi bagus. Kalau menang lagi sakit. Pusat yang berjanji, tetapi rakyat pula menagih janji pada negeri. Dan MB pula tidak mesra dengan pusat. Kesimpulannya, lebih baik UMNO kalah daripada menang.

Sumber daripada Penarik pula memberitahu bahawa kumpulan Idris Jusoh tidak akan membantu UMNO untuk menang di KT. Jikalau UMNO menang, MB Ahmad Said yang akan dapat nama. Inilah masanya untuk Idris Jusoh membuktikan bahawa Ahmad Said tidak mendapat sokongan padu UMNO Ganu. Mereka akan letakkan kekalahan UMNO di bahu MB Ahmad Said. Apabila UMNO kalah, dendam Idris Jusoh akan terbalas dan kesilapannya yang menatangkan istana pada Mac 2008 lalu boleh diredakan.

Kesimpulannya ketiga-tiga rakan Ganu saya ini tidak meletakkan langsung harapan yang UMNO akan menang di KT. Mat Sabu kalah dahulu kerana beliau calon luar. Pengundi wanita yang tahun 1999 mengundi PAS telah beralih mengundi UMNO pada tahun 2008. Kali ini undi pengundi wanita dijangka beralih kepada PAS. Cuma rakan dari Chabang Tiga begitu risau dengan kehadiran 6ooo polis di KT.

Saya masih cuba menghubungi rakan bekas pegawai YBK tetapi masih tidak dapat dihubungi. Saya begitu sukar untuk menghubungi beliau sejak UMNO kalah 1999. Kali terakhir saya berjumpa beliau ialah pada tahun 1998 apabila saya memintanya menempah penginapan di Seri Malaysia. Sebaik sampai ke Ganu, saya dan keluarga ditempatkan di Primula Park Royal. Dua malam free. Selepas itu kami hanya berurusan melalui telefon termasuklah usaha memasarkan kicap tamin Enggor ke Kedai Keluarga di Ganu. Tetapi Kicap Tamin tidak sediakan lori untuk hantar kicap ke Pantai Timur. Namun begitu setiap hari raya beliau tidak lupa menghantar SMS mengucapkan selamat hari raya. Maknanya nombor hpnya masih berfungsi. Beliau adalah pengundi di KT. Walaupun mungkin beliau marah kepada PAS kerana kehilangan kerja dan PAS pula ada alasannya tersendiri, saya berharap rakan saya ini cubalah kuatkan semangat undi PAS. PAS hari ini lebih terbuka. Kisahnya telah 10 tahun berlalu. Buang yang keroh ambil yang jernih.

Semoga berita dan cerita yang saya dengar ini benar. Kepada petugas PR, teruskan usaha anda di sana. Kepada para bloggers yang sedang besidang di Pasir Puteh, Kelantan .. selamat bersidang.


2 comments:

  1. Salam..
    Harap-harap macam tu lah Yeop.. bila dengar cerita macam tu lega sikit... memang kita kat sini semua dok dalam debaran... Kalau sahabat kita yang pergi konvension kat Pasir Putih mungkin boleh banyak maklumat sikit..

    ReplyDelete
  2. Salam Mamamat dan semua kawan,
    Maaf, keluar tajuk sikit.
    Apa cerita benih pohon anggur tu?
    Namanya: Isabella. Jenis Labrusca.
    Digezet sebagai anggur USA dalam tahun 1847.
    Buah muda = hijau
    Mulai masak = merah
    Cukup masak = hitam.

    ReplyDelete