Sunday, January 25, 2009

ADUN Bota sertai PKR

[DIKEMAS KINI, 3.10 PETANG] PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Ia diumumkan pada sidang media di Ibu Pejabat PKR dekat sini sebentar tadi.

Beliau merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN yang kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.

Pada November lalu, ADUN Bebas Ngemah, Gabriel Adit menyertai PKR.

Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

"Setelah mengambil pertimbangan terutamanya melihat perkembangan suasana politik khasnya melihat arah tuju sokongan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu serta keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno masa kini, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Bagaimanapun beliau belum memaklumkan keputusan itu kepada Umno dan menulis surat dalam waktu terdekat.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi.

Nasarudin dari Umno memperoleh 6,556 undi.

Perak kini dietrajui Pakatan Rakyat dengan menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Barisan Nasional (BN) pula 28 kerusi.


mstar

1 comment:

  1. Lepaih ni ade soghang lagi .. dan soghang lagi .. tunggu. Cuma belum tentu nak masuk mane .. PKR atau PAS?

    ReplyDelete