Tuesday, January 26, 2010

JK Disiplin PAS & PKR : Siapa Lembab, Siapa Pantas?

Jawatankuasa Disiplin PAS bolehlah dikatakan telah gagal menyelesaikan kemelut antara Hassan dan Khalid di Selangor. Jawatankuasa itu telah beberapa kali menangguhkan keputusan akan siapakah yang benar dan siapa yang salah. Ahli dan pengundi PAS telah lebih sebulan menunggu dan memerhati akan keberkesanan dan kewibawaan jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini telah menetapkan 29 Januari 2010 sebagai tarikh keputusan. Mungkin ditangguhkan lagi ke minggu hadapan... Jikalau ditangguh lagi, jawatankuasa ini seharusnya diberi nama baru iaitu Jawatankuasa Disiplin PAS Minggu Hadapan.

Penangguhan yang telah melewati tempoh satu bulan seolah-olah memberitahu kita bahawa Jawatankuasa Disiplin PAS sedang berdilema untuk memutuskan tindakan keras kepada salah seorang antara Hassan dan Khalid. Kami penyokong PR mahukan keputusan yang tegas dan telus. Kami tidak mahu keputusannya hanya dilayangkan ‘kad kuning’ sahaja. Kami mahu salah seorang diberikan ‘kad merah’.

Setelah Jawatankuasa Disiplin PAS gagal melaksanakan fungsinya dalam tempoh sebulan, rakannya iaitu Jawatankuasa Disiplin PKR pula akan diuji. Difahamkan bahawa Biro Politik PKR yang bermesyuarat hari ini akan menghantar laporan tentang salah laku Zul Kulim kepada Jawatankuasa Disiplin PKR dalam tempoh satu bulan. Persoalannya, kenapa tempoh menyiapkan laporan mengambil masa sebulan lamanya? Apakah menjadi satu kesalahan menghantar laporan salah laku dalam tempoh seminngu? Dan apakah serius kesalahan Jawatankuasa Disiplin, sekiranya mereka membuat keputusan dalam tempoh satu minggu?

Pemimpin-pemimpin politik PR harus bergerak pantas. Disamping petah menghujah isu dan menyanggah idea lapok UMNO, mereka mesti mampu bertindak segera menyelesaikan masalah dalaman. Jikalau isu Hassan-Khalid dan Zul Kulim gagal ditangani dalam tempoh yang singkat, apakah kami boleh mengharapkan PR menunaikan janjinya seperti yang terkandung dalam manifesto? Tentu jawapannya sukar...

Ketepikan Hassan Ali dalam pimpinan PAS pusat. Kirim segera Zul Kulim kepada UMNO dengan menggunakan Perkhidmatan Pos Laju. Jikalau PR lambat bertindak, bermakna UMNO berjaya menambahkan kekuatannya. Tetapi jika PR cepat bertindak, sokongan dan semangat kami untuk bekerja demi kemenangan PR akan segera pulih.

Biarlah PR hilang beberapa YB yang mendatangkan masalah kepada PR daripada meratap kemudian hari akan kemerosotan undi dalam pilihanraya. Ingat pepatah silam, ‘patah tumbuh hilang berganti’. Satu Hassan pergi, sepuluh Khalid akan datang. Sekiranya satu Khalid yang pergi, tinggallah satu Hassan tanpa waris. Untuk Zul Kulim, datangmu tidak diundang, pergimu tidak dihalang. Tawamu tidak lagi disambut tetapi dihamput. Oleh itu segeralah keluar PR sebelum kamu dihalau..

Untuk Zul Kulim, terima kasih kami atas sedikit jasamu kepada PR...

1 comment:

  1. Salam!
    Utk mendpt emas yg tulin, kenalah dibako dan disaring sehingga keluwor bijih2. Pemimpin pegi, pemimpin dtg, isyy perkara biasa ler baru berapa tahun pun pegang tampok meghintah. Apa2 kecuh pun kalo nak dibandingkan yg di sebelah sana, jauh teruk perange sana lagi.

    ReplyDelete