Friday, June 19, 2009

Tahniah & Syabas MB Nizar

Akhirnya pada petang tadi Jumaat 19 Jun 2009, MB Nizar memfailkan juga permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk menggantung jawatan MB DPulau sebagai MB Perak. Dalam tulisan saya yang terdahulu, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mestilah selaras dengan kehendak kerajaan UMNO. Usaha MB Nizar ke Mahkamah Persekutuan adalah untuk melengkapkan prosedur perundangan sahaja. Agak sukar untuk MB Nizar memperolehi pengistiharan sebagai MB Perak kecualilah PM Satu Malaysia berubah fikiran memulangkan semula Perak kepada PR. Tambahan pula keputusan istana mesti diperakui betul walaupun tatasusilanya tidak betul sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Cara terbaik pada ketika ini ialah MB DPulau memohon perkenan pembubaran DUN Perak sebelum Mahkamah Persekutuan terpaksa meraba-raba mencipta alasan untuk menghalalkan kuasa yang haram.

Tahniah dan syabas kepada MB Nizar. Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana memberi kekuatan fizikal dan mental kepada MB Nizar. Segala ruang dan kesempatan telah digunakan oleh MB Nizar untuk mengherdik dan menyindir akan perlanggaran perlembagaan oleh UMNO. Pada awal minggu ini iaitu hari Isnin 15 Jun 2009, MB Nizar secara spontan telah melaungkan ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Bubar DUN Perak’ sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang. Selama ini laungan seperti itu hanya kedengaran di jalan raya atau di majlis anjuran PR sahaja. MB NIzar telah berjaya memperdengarkan laungan keramat itu terus ke telinga PM Satu Malaysia. Inilah pertama kalinya laungan rasmi PR berkumandang di sidang parlimen.

Akibatnya MB Nizar dan beberapa AP PR telah digantung hadir sidang selama dua hari. MB Nizar tunduk hormat dan menurut perintah speaker. Soalnya siapakah yang lebih kurang ajar? Siapakah yang lebih degil? Siapakah yang melanggar peraturan? Pada 7 Mei 2009 di Sidang DUN Perak, speaker telah menggantung kehadiran MB DPulau dan enam exconya daripada menghadiri sidang DUN. MB DPulau dan Enam Jahanamnya amat degil dan kurang ajar. Bentara langsung tidak mempedulikan arahan dan keputusan mutlak speaker. Sebaliknya speaker pula yang diangkat dan diusung paksa keluar sehingga pecah pasu bunga. Jikalau tidak puas hati dengan keputusan speaker, saman sahaja speaker di mahkamah. Mohon supaya mahkamah mengistiharkan bahawa keputusan dan kuasa speaker adalah tidak sah, bukannya sekadar pengistiharan membatalkan keputusan penggantungan sahaja.

Sebagai rakyat marhaen, saya berpendapat telah berlakunya amalan ‘double standard’ dalam Perlembagaan Malaysia. UMNO terus kebal dan terus dilindungi walaupun kesalahannya begitu terserlah. PR tetap bersalah walaupun sentiasa mematuhi perundangan bertulis. MB Nizar walaupun jawatannya telah dirampas, telah berjaya membuka pekong bernanah UMNO. MB Nizar telah berjaya meningkatkan sokongan rakyat kepada PR. MB Nizar telah menarik simpati pengundi UMNO walaupun mereka masih berkira-kira untuk mengundi PR. Pengundi UMNO mula berdilema, nak undi UMNO atau PR dalam PRU13 nanti?

Entah di mana silapnya ketika PR begitu gagah, ketika PR yakin menang dalam PRU13, tetiba nakhoda PAS mula bersimpati akan nasib UMNO. Pimpinan PAS mulai terpengaruh dengan pujukan UMNO bahawa Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan. Jikalau dipisahkan, pincanglah akidah. UMNO dengan merendah diri telah menadahkan pejabat menteri di Putrajaya. UMNO menerima PAS tanpa syarat tetapi PAS boleh menetapkan syarat-syaratnya asalkan UMNO dan PAS boleh membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Lupakan sengketa lama”. Ini ayat yang diucapkan oleh TPM Satu Malaysia sebentar tadi. Walaupun pimpinan PAS akan menarik balik salam perdamaian dengan UMNO atau memohon maaf kepada penyokong PR, ianya telah merencatkan sokongan pengundi UMNO kepada PR. Dengan ayat ‘lupakan sengketa lama’ itu, pimpinan UMNO akan kembali disokong oleh pengundi yang berdilema tadi. Kesudahannya UMNO akan terus menguasai undi Melayu kampung. PAS akan dipersalahkan oleh UMNO kerana tidak mahu memaafkan UMNO.

Pimpinan PAS hanya sibuk dan melatah dengan isu UG sahaja. Ketika MB Nizar di mahkamah tadi, tidak ternampak akan kelibat YB Nash. Tidak ternampak juga kelibat dewan pemudanya. Seolah-olah susah payah MB Nizar mengharungi krisis ini tidak dikongsi oleh pimpinan utama PAS. Mungkin ada benarnya dakwaan pelompat Behrang yang MB Nizar hanya dikelilingi oleh Ngeh dan Nga sahaja. Ketidakhadiran tokoh-tokoh pimpinan utama PAS di mahkamah untuk memberikan sokongan moral, telah memperlihatkan mereka tidak menghormati sokongan dan undi tertinggi yang diterima oleh MB Nizar dalam Muktamar PAS baru-baru ini.

Saya ingatkan panas hingga ke petang, tapi nampaknya macam nak hujan di tengah hari. Harap-harap tak jadilah hujan. Entahlah.

2 comments:

  1. Salam ..
    Menolong MB Nizar apa dapatnya... balak pun dah tak ada harapan lagi.. lainlah kalau Nizar tu title MB sebenar.. maka ramailah yang ngendeng kat dia...

    ReplyDelete
  2. Saya masih dalam kebingungan dengan keputusan pemilihan saf kepimpinan PAS yang lepas.

    Ni tengah bengung la ni...

    ReplyDelete