Wednesday, December 31, 2008

Tahun Baru 2009 .. Apa Khabar Kerajaan Perak Darul Ridzuan?

Hampir 10 bulan Pakatan Rakyat (PR) mentadbir dan memerintah negeri Perak. Allah dengan limpah kurniaNya telah memperkenankan impian majoriti kita untuk mentadbir negeri ini. Setelah menempuhi pahit getir onak ranjau berbisa, sedar tidak sedar sudah 10 bulan berlalu. Alhamdulillah negeri ini masih kekal dalam PR walaupun heboh di sana sini akan ada dua ADUN menyertai BN. Semoga negeri ini terus dilindungi Allah kekal bahagia bersama Pakatan Rakyat. Semoga tahun baru 2009 menjanjikan kebahagian sebagaimana manifesto ‘Negeri Berkebajikan’ yang telah berjaya menghuni minda setiap pengundi PR dan tidak terkecuali juga pengundi BN. Di sana sini rakyat bertanya akan ‘kebajikan’ yang dituntut dan didambakan oleh mereka.

Dalam tempoh 10 bulan ini kerajaan PR Perak masih menyempitkan maksud ‘kebajikan’. ‘Kebajikan’ hanya diukur berdasarkan kesengsaraan ekonomi. ‘Kebajikan’ hanya dilihat kepada ketidakmampuan rakyat mendapatkan kemudahan asas. ‘Kebajikan’ bermaksud memberikan hak milik tanah bergeran kepada penghuni-penghuni bergenerasi di tanah-tanah bertaraf TOL. Mangsa banjir, mangsa kebakaran, mangsa ribut dan pelbagai bencana lagi diberi bantuan sewajarnya walaupun ada yang diTOL atas nama sumbangan dan sedekah amal jariah kepada parti. Atau dengan kata mudahnya ‘kebajikan’ diberi dan diutamakan kepada rakyat yang susah daripada sudut lahiriahnya. Tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya melangsaikan janji manifesto ‘berkebajikan’.

Buat permulaan perbincangan, kita usah sembang tentang nasib orang kaya. Kita usah bincang tentang nasib mereka yang kais pagi makan sebulan atau kais pagi makan setahun. Cukup sekadar kita bincang tentang nasib yang menimpa rakan kita JKKK, yang kais pagi makan tengahari atau kais petang makan malam. Atau kita hadkan perbincangan kepada mereka yang kais pagi makan seminggu sahaja. Sebab kalau kita bincangkan ‘kebajikan’ rakyat yang mantap ekonominya, maksud ‘kebajikan’ itu akan menjadi lebih besar lagi. Lebih memeningkan.

Kerajaan PR Perak di awal pemerintahan telah memilih dan melantik ketua kampung dan sepuluh orang jawatankuasanya. Perlantikan mereka sebagai ketua kampung telahpun memasuki bulan keenam. Tugas mereka ialah melantik JKKK, berhubung baik dengan penghulu dan Penyelia DUN serta melaksanakan kehendak dan keputusan kerajaan negeri. Kesudahannya, ketua kampung pening kepala kerana ketua parti yang lebih berkuasa daripada Penyelia DUN. Penghulu pula lebih selesa berurusan dengan JKKKP. Penyelia DUN pening, ketua kampung sakit kepala.

Tidak terfikirkah kepada kerajaan negeri kenapa perkara-perkara sedemikian boleh berlaku? Tidak bolehkah kerajaan negeri melalui MB mengarahkan parti supaya bijak memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan urusan kepartian walaupun pendokongnya orang yang sama. Tidak bolehkah program-program kepartian tidak diadakan di Dewan Banquet di bangunan SUK? Bahkan kediaman MBpun tidak seharusnya digunakan untuk urusan kepartian. MB itu adalah satu institusi bukannya parti. Hormatilah institusi MB. Cukup, kembali kita kepada buah bicara asal.

Saya bawa kembali perbincangan ini kepada memahami istilah ‘kebajikan’ tadi. Ketua kampung tidak diberi pendedahan tentang tugasannya. Ada ketua kampung yang dilantik semata-mata untuk mengisi kekosongan jawatan. Ketua kampung gembira diberi watikah jawatan tetapi selepas itu dibiarkan. Ketua kampung teraba-raba mencari kekuatan baru. Mahu mencuba memimpin tetapi kurang yakin kerana gangguan parti. Mahu bertanya malu, nanti dikata tidak tahu walaupun sememangnya tidak tahu. Tidak bolehkah kerajaan mengadakan kursus khas untuk semua ketua kampung dan JKKKnya secara berperingkat-peringkat? Tidak bolehkah dibawa mereka berkursus dua tiga hari berelaun di luar daerah. Dedahkan mereka kepada tugasan dan tanggungjawab jawatan. Biar mereka berbengkel sesama mereka tanpa banyak rasa malu. Biar mereka membentuk keyakinan diri sesama mereka. Merekalah yang sepatutnya diharapkan untuk mencorak hala tuju anak buah di kampung. Betul gaya coraknya, bermakna selamatlah kerajaan PR di Perak.

Rumusannya ialah ilmu. Bukankah ilmu itu juga ‘kebajikan’. Bukankah ilmu akan menyelesaikan masalah? Bukankah ilmu akan meningkatkan ekonomi JKKK? Bukankah ilmu juga menambahkan kekayaan ekonomi negeri? Bukankah ilmu itu tuntutan agama? Bermakna ilmu itu penting. Dan ilmu itu adalah ‘kebajikan’ yang sebenar-benarnya. Kerajaan pernah berbangga bahawa ‘kami beri pancing, bukannya ikan’. Tahukah kerajaan bahawa ada di kalangan rakyat yang tidak tahu kemahiran memancing. Tidak kenal umpan cacing tanah dan cacing gelang. Apa guna ada pancing kalau tidak ada ilmu memancing. Kerana kurang berilmulah maka Dewan Banquet dan kediaman MB menjadi lokasi eksklusif program-program kepartian.

Dahulu kata PR berbeza dengan BN, tapi macam sama jer!

Salahkah saya melontarkan pandangan sebegini di ruangan ini?

3 comments:

  1. Salam Mamamat,
    Selamat tahun-tahun baru!
    Gambar atas yang saya curi tu dah dimasukkan dalam blog catatan santai. Ada sikit ulasan mengikut mata, hati dan kepala saya. Maaflah.

    ReplyDelete
  2. Salam Mamamat,
    Terima kasih kerana gambar dan ucapan hari jadi. Saya memang anak bendang. Masa kecil saya anak hutan, kerana ayah datang dari Bagan Serai meneroka hutan, termasuk bersama orang asli.

    ReplyDelete
  3. Salam mamamat!

    Tiada salahnya lontaran mike. Kalau tak dilontarkan nasihat begini ... barulah dikira mike bersalah. Teruskan, teruskan.

    Bab ilmu tu teman setuju ribu-ribu peratus. Dah bertukar tahun - JKKK tak dikursuskan lagi tentang macam mana nak jalankan tugas. Penin.

    DUN teman N.36 & N.37 insyaallah akan berkursus di Cameron Highland pada bulan Februari nanti. Semua Pengerusi, SU & Bendahari JKK terlibat. Tapi bukan kerajaan negeri yang anjur. Kami sendiri yang cetus, rancang dan laksana.

    Kalau tunggu - entah bile.

    ReplyDelete