“Kalau mahu masuk PKR kerana wang, pangkat dan projek tertentu, kamu pasti akan kecewa kerana parti ini bukan parti UMNO. Tetapi jika kamu masuk parti kerana mahu memperjuangkan agenda perubahan untuk rakyat , silakan. Saya yakin kamu pasti kekal dalam parti ini”
- YB Dr. Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, 13 Feb. 2010
Keputusan AP Bayan Baru, Dato’ Seri Zahrain keluar PKR sememangnya dialu-alukan oleh penyokong PR khususnya PKR. Walaupun beliau mengumumkan menjadi AP bebas yang tidak mesra UMNO, masih diyakini bahawa beliau berjiwa dan berfikiran UMNO. Maklumlah setelah sekian lama berada dalam UMNO dan tidak pula menghadapi ujian Allah segetir DSAI, tetiba ditakdirkan menjadi AP, AP di negeri yang dimenangi oleh PR. Dalam budaya UMNO, setiap wakil rakyat mesti ada ‘pangku’nya. Kerana itulah ahli UMNO berebut-rebut mencari tempat dalam jawatankuasa cawangan dan bahagian sebelum mereka memasang strategi menjadi calon pilihanraya. Dan AP Bayan Baru ini cuba menjadikan platform AP ala UMNO sebagai strategi untuknya menjadi kaya.
Lebih menarik apabila TGNA, Menteri Besar Kelantan dalam nada sinisnya menempelak AP atau ADUN yang menang atas tiket PR. Mereka ini kemudiannya meninggalkan PR tanpa melepaskan jawatan sebagai AP atau ADUN. Sebagai AP atau ADUN yang mengaku beragama Islam, merreka seharusnya sedar bahawa tidak ada maknanya untuk mereka terus hidup jikalau memakan makanan yang tidak halal. Gaji dan elaun wakil rakyat yang diterima secara sengaja menjadi haram jikalau amanah rakyat diengkari. Mungkin Pasir Mas, Bayan Baru, Lunas, Pelabuhan Kelang, Behrang dan Changkat Jering ada jawapan untuk menghalalkan elaun yang mereka telah terima. Elaun yang boleh menghalalkan ‘daging babi’ yang telah dan sedang mereka telan.
Pemerhati dan peminat poltik di Malaysia akan lebih terkejut jikalau selepas ini AP Kulim Bandar Baharu pula mengikut rentak seloka Bayan Baru dan Pasir Mas. Ini kerana AP ini amat sinonim dalam perkara-perkara bersabit Islam. Masakan tidak, rakan APnya dari Shah Alampun dibuatnya kes polis. Tindak tanduk AP Kulim yang mengjengkelkan PR sememangnya sedang diperhati dengan teliti oleh pengundinya. Sepatutnya AP ini telah melepaskan jawatan APnya bagi membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan. Ataupun mungkin beliau sedang menunggu apakah bentuk hukuman yang akan dikenakan oleh PKR kepadanya. Apakah hukuman PKR nanti seperti hukuman PAS ke atas Dr. Hassan Ali dan Khalid Samad? Tetapi andaikata hukumannya membawa maksud yang AP Kulim ini tidak lagi diperakui sebagai AP PKR oleh PKR, maka seharusnya AP Kulim ini melepaskan jawatannya sebagai AP Kulim Bandar Baharu. Jikalau beliau terus degil, maka segala makan minum hasil yang diterima dari elaun wakil rakyatnya adalah haram.
Dalam tempoh dua tahun selepas PRU 12, negeri-negeri yang diperintah oleh PR telah mempunyai wakil rakyat berstatus bebas. Sebaik melangkah ke parlimen, AP Pasir Mas, Kelantan mengistiharkan dirinya sebagai AP bebas walaupun menang atas tiket PAS. AP ini berjanji akan menjadi betul-betul bebas. Tetapi semasa mengundi calon speaker parlimen, PR kurang satu undi dan BN pula lebih satu undi. Dan hari ini tindak tanduk AP Pasir Mas lebih banyak bersama dalam program yang programnya seperti program UMNO. AP Pasir Mas juga begitu lantang mendesak TGNA meletak jawatan sebagai MB Kelantan. Sepatutnya beliau mengucapkan terima kasih kepada TGNA kerana memberi laluan untuknya bertanding dan menang di Pasir Mas. Memang benarlah pendapat yang mengatakan bahawa Ibrahim Ali adalah AP yang tidak sedar diuntung.
Tidak sampai setahun selepas PRU 12, berlaku pula peristiwa tiga ADUN PR Perak mengistiharkan mereka sebagai ADUN bebas yang mesra UMNO. Dua daripadanya adalah ADUN Melayu beragama Islam. Kesannya sehingga ke hari ini, Perak masih mempunyai dua MB dan dua speaker. MB Nizar sebagai MB rakyat dan MB DPulau pula sebagai MB istana yang disahkan oleh mahkamah.
Dalam kesibukan PRK Permatang Pasir, Pulau Pinang tiba-tiba ADUN Lunas yang juga Exco Kedah membuat pengumuman keluar PKR untuk menjadi ADUN bebas yang mesra UMNO. Selepas itu ADUN Pelabuhan Kelang, Selangor juga mengumumkan menjadi ADUN bebas yang mesra UMNO. Dan sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina, AP Bayan Baru, Pulau Pinang keluar PKR untuk menjadi AP bebas yang tidak mesra UMNO. Dengan ini lengkaplah sudah yang semua negeri yang ditadbir oleh PR mempunyai wakil rakyat berstatus bebas.
Teringat saya kepada ADUN Bukit Selambau yang asalnya bebas, kemudian menyertai PKR dan seterusnya dilantik sebagai Exco Kedah. ADUN ini sanggup melepaskan jawatan exco dan ADUNnya daripada menjadi ADUN bebas yang mesra BN. Lebih terharu kerana ADUN ini bukan ADUN Melayu. Jikalau ADUN bukan Melayupun ada maruah, di mana maruah anda AP atau ADUN Melayu yang menang atas tiket PR yang kemudiannya mengkhianati amanah pengundi dengan menyertai UMNO?
Kami rakyat yang menyertai TGNA berpendapat bahawa kalian sepatutnya melepaskan jawatan sebagai AP atau ADUN. Tidak tahulah jikalau kalian ada jawapan untuk menghalalkan ‘daging babi’ yang kalian dan keluarga kalian sedang jamah ...
No comments:
Post a Comment