Wednesday, February 3, 2010

MSK : Fenomena Aduka Taruna

Sejak aku menyiarkan rayuan derma untuk Aduka Taruna disebelah kanan laman ini, aku menerima dua belas email yang mempertikaikan tindakan aku membela Aduka. Aku siarkan dua daripadanya.

“Saya ni kira peminat setia blog tuan…tapi yang tak syoknya pagi ini bila buka blog tuan saya nampak rayuan derma untuk Aduka Taruna. Mungkin saya salah dalam menilai. Tapi pada hemat saya yang kerdil ini, Aduka Taruna atau AT bukanlah susuk tubuh yang sesuai untuk kita lempiaskan simpati. Beliau merupakan penulis yang menyalahgunakan kebebasan menulis dengan hujah-hujah dangkal dan acapkali biadap dalam tutur kata.”

“Kenapa nak bantu Aduka Taruna? Takkan nak bantu orang yang hina Isteri Nabi Muhammad SAW.”

Aku bukan hendak membela apa yang telah Aduka lakukan. Salah tetap salah. Salah dia kepada Tuhan…biarlah Tuhan yang membalasnya. Salah dia kepada manusia…biarlah manusia yang membalasnya. Tetapi apakah tanggungjawab kita untuk membantu beliau…kalau dikatakan Aduka itu kurang ajar, sesat, dan apa saja tuduhan yang hendak dilemparkan? Apakah kita mahu membiarkan beliau terus dalam kesesatan? Apakah kita mahu membiarkan Aduka terus dengan kurang ajarnya? Dan kita menjadi musuhnya?

Bila ada blogger lain yang menciplak artikel Perakex…aku marah. Aku kutuk depa. Sebaliknya ada pula mereka yang bercakap tentang Islam…seolah-olah Islam ini milik mereka…mengutuk aku balik. Apakah perbuatan menciplak dan mencuri itu tidak salah dan kurang ajar?

Ada pemimpin yang menabur bermacam-macam janji semasa pilihanraya, tetapi selepas menang…dia memungkiri janji…dan bersekongkol dengan musuh yang kita tentang semasa pilihanraya. Bukankah sikap mereka ini lebih biadap dan kurang ajar dari Aduka? Bukankah mereka yang memungkiri janji ini lebih munafik dari Aduka?

Aduka juga pernah menganugerahkan gelaran biawak kelas ekonomi kepada aku…aku tak marah! Sebaliknya bila dia tersepit…aku cuba membantunya. Apakah rasional tindakan aku?

Aku tak sanggup nak jawab satu persatu email yang dihantar kepada aku…jadi aku tulis mengapa aku bertindak begitu.

Sikap dan tindakan Aduka adalah manifestasi daripada perasaan marah, kecewa, geram dan ketidaksabaran anak muda. Aku sendiri pernah mengalami apa yang Aduka alami sekarang.

Semasa berumur awal belasan tahun, aku sudah boleh menghafal beberapa juzuk Al-Quran. Maknanya aku tak tahu…cuma hafal. Itu yang dimahukan oleh orang tua aku. Ketika budak-budak lain seronok bermain sampai ke senja, aku sudah berada disurau jadi Tok Siak… menghampar sejadah.

Ketika berumur 17 tahun, satu pengalaman yang menjauhkan aku dari surau dan masjid.

Seorang guru datang mengajar disurau tentang Israk Mikraj. Dan aku mengemukakan beberapa soalan yang provokatif dimana akhirnya ustaz tersebut tidak dapat berbahas dengan budak berumur 17 tahun. Dia berhujah berdasarkan kitab…aku berhujah berdasarkan sains. Memang susah untuk mencari titik pertemuan. Akhirnya aku dilabel sebagai sesat, munafik, fasik. Itu adalah hari terakhir aku ke surau. Dan orang kampung juga seronok bila aku tak ke surau…sekurang-kurangnya hilang seorang pengacau.

Selepas itu…aku mula hanyut. Di sekolah, guru ugama juga selalu memperli aku kerana selalu berhujah bertentangan dengan apa yang diajarnya. Aku mula menjadi pelari sekolah. bukan berlari untuk sekolah, tetapi lari dari sekolah. Bila masuk kelas ugama..aku selalu ponteng. Pirrrah…ugama hanyalah alat untuk membonsaikan pemikiran.

Semasa bekerja, staf-staf yang berugama Islam memberontak apabila tidak dapat menunaikan solat Jumaat. Tetapi apabila diberi pelepasan, mereka gunakan waktu solat Jumaat untuk tidor. Pegawi-pegawai kerajaan yang berugama Islam yang selalu datang untuk membuat pemeriksaan dikilang tempat aku bekerja…semuanya datang untuk mengutip duit rasuah. Dari pemeriksa dandang, mesin penimbang, Jabatan Alam Sekitar, Bomba, Kesihatan….hampir semuanya datang untuk mendapatkan habuan..bukan untuk menunaikan tanggungjawab. Dan semuanya berugama Islam.

Aku semakin meluat dengan Islam kerana sikap penganut-penganutnya. Dan aku menghampiri Kristian melalu gereja Assembly of God. Setiap hari minggu aku ke Gereja AOG di teluk Air Tawar, Butterworth. Tetapi akhirnya aku meninggalkan AOG …juga kerana sikap penganutnya yang hampir sama dengan umat Islam yang aku temui. Hanya mereka yang benar..orang lain semua salah.

Semasa di Thailand, aku berpeluang mempelajari Bhuddism. Ramai Mat Saleh yang belajar Buddhism di Bangkok. Dan aku tak ada masalah dengan Buddhism. Hangpa nak kata aku murtad ka…kafir ka…kata lah. Buddhism banyak mengajar aku tentang nilai-nilai sejagat.Tak perlu menilai orang lain..yang penting nilai diri sendiri.

Semasa di Bangladesh, sekali lagi aku melihat perangai buruk orang-orang Islam. 98% penduduk Bangladesh beragama Islam, tetapi rasuah cukup tinggi. Penyelewengan bantuan asing kepada rakyat Bangladesh tiris ditengah jalan. Semuanya disonglap oleh penguasa-penguasa korup. Lebih teruk, rakyat Bangladesh dipisahkan oleh kasta. Jangan kata dalam Islam tak ada kasta. Aku sendiri merasa diperbodohkan dan dihina oleh rakyat Bangladesh yang menganggap mereka lebih bertamadun dan bertaraf yang lebih tinggi…kerana menyangkakan aku rakyat kelas bawahan Bangladesh. Tetapi bila mendapat tahu aku dari Malaysia…tiba-tiba mereka menyanjung aku. Pirrrah…orang Islam kebanyakannya hipokrit.

India banyak merubah hidup aku. Nasib baik aku tak jumpa Sai Baba…kalau tidak mungkin aku dah jadi pengikutnya. Calcutta adalah tempat untuk belajar tentang kehidupan. Rabindranath Tagore mampu menulis berpuluh buku dan puisi tentang kehidupan. Manusia belajar tentang kehidupan bukan dari kitab-kitab suci…tetapi dari pengalaman melihat dan merasai pelbagai jenis kehidupan.

Sesorang itu boleh menjadi dewa sekiranya menginap di Hindustan Hotel…dan boleh menjadi paria apabila berjalan dilorong-lorong yang penuh dengan kemiskinan. Calcutta mempunyai ciri-ciri syurga dan neraka yang sering di perkatakan dalam kuliah-kuliah ugama. Di Calcutta… kita merasa sendiri perjalanan Mikraj yang sering di ceramahkan setiap tahun.

Perjalanan aku lama terhenti di Kalighat, Calcutta. Di situ aku banyak belajar tentang nilai, tentang kehidupan, tentang penderitaan, tentang kasih sayang dan tentang erti kebenaran.

Tiada siapa yang berceramah kepada aku. Tiada siapa yang yang mempengaruhi aku dengan surah dan sirah. Dan tiada siapa yang memberikan label atau menjatuhkan hukum. Aku belajar dengan pengalaman. Aku melihat seorang manusia yang mengabdikan dirinya untuk kemanusiaan. Mother Theresa.

Ya…dia seorang Kristian. Dia seorang kafir. Dia seorang ahli neraka. Tetapi bagi aku, dia lah seorang yang banyak merubah pemikiran aku tentang hidup. Dan dia lebih layak tinggal di syurga dari kebanyakan kita yang mengaku Islam.

Hanya satu perkataan yang sering diperkatakan. Love.

Sayangi orang lain kalau kita mahu diri kita disayangi.Jikalau Mother Theresa boleh datang ke India dari Poland untuk menyebarkan kasih sayang…mengapakah diantara kita di Malaysia ini asyik bercakaran? Jikalau seorang Kristian dari Poland boleh menumpahkan kasih sayang kepada penganut Hindu di India…mengapakah umat Islam di Malaysia asyik bermusuhan sesama sendiri?

Umat Islam di Malaysia cukup cepat memberikan label dan menjatuhkan hukum kepada orang lain. Tetapi tidak belajar memberikan kemaafan kepada orang lain.

Apabila M3M membuat satu posting yang bertentangan dengan fakta, sepantas kilat turun dari langit hadis-hadis yang menghukum M3M sebagai fasik dan munafik. Tetapi apabila M3M meminta maaf, tidak ada penarikan balik hukum yang telah dijatuhkan. Seolah-olah, M3M terus fasik dan munafik diatas kesalahannya walaupun telah meminta maaf. Kita berlagak seperti penguatkuasa undang-undang Tuhan.

Tuhan itu amat pemurah dan amat mengasihani. Tetapi kita sendiri berlagak dengan sombong…tanpa perasaan ingin memaafkan sesama sendiri.

Semasa di Malaysia Today pada tahun 2004-2006, aku selalu bertekak dengan penyokong-penyokong Pas. Cukup seronok memaki hamun depa. Lagi depa maki aku…lagi seronok aku maki depa. Depa kurang ajar, aku lagi kurang ajar. Tetapi akhirnya aku tewas kepada seorang yang tidak pernah mengutuk aku. Tidak pernah memaki aku. Aku tewas kepada seorang tukang komen bernama Anti-Hypocrisy.

Aduka Taruna adalah satu fenomena. Mungkin dia juga datang dari spesis bangang. Tetapi dalam kebanyakan perkara…kita juga datang dari spesis bangang.Adakah kita mahu membiarkan dia terus menjadi bangang…dan kita juga jadi bangang? Ataupun kita lontarkan sedikit perasaan kasih sayang…dan memaafkan dia. Mungkin dengan sedikit perasaan kasih sayang yang tidak memerlukan modal…dapat mengubah kehidupannya.

Baca lagi di http://perakexpress.com/www/



2 comments:

  1. SAYA MENYOKONG EMAIL YANG TUAN TERIMA BAHKAN KALAU SAYA HANTAR EMAIL PUN MACAM TU JUGA.

    DENGAN KATA LAIN SESAT DIHUJUNG JALAN KEMBALI LAH KE PANGKAL JALAN.

    BERTAUBAT TIDAK SEMESTI BEBRBUAT DOSA BESAR SAHAJA SAPERTI BERZINA MINUM ARAK DAN SEBAGAINYA NAMUN DEMIKIAN PENGERTIAN TAUBAT JUGA MENYESALI APA KESALAHAN YANG DILAKUKAN DAN KEMBALI KEPADA JALAN BENAR ( ISLAM )SERTA TIDAK AKAN MELAKUKAN PERKARA PERKARA YANG SUDAH LEPAS ITU.

    SEBAGAI JALAN PENDORONG KEARAH PENGNTAHUAN ILMU AGAMA BOLEH LAH ANDA SEMUA LAYARI serupasekal.blogspot.com UNTUK MENDENGAR KULIAH DAN CERAMAH AGAMA MOGA MOGA MENDAPAT HIDAYAH DARIPADA NYA.


    SEKADAR MENYARAN BUKAN MENGAJAR.

    ReplyDelete
  2. wehh...le udoh sampe rope itu pulok budok aduka tu yek kome...udoh ade ngate spesis bangang pun ade,, gamoknye aghuuii le tu, ni kighe hukum karma le juge, oghang tetue udoh habo, labun sesiang bior nengok-nengok, labun memalam bior nengor-nengor, labun bior belapik, kate bior beghalah... nok ngate bior betempat...mengkalu ikut sedap kate haaa...binase, mengkalu ikut sedap rase haaa...binase...pikio le le lepah ini. Kalu ijok seghik-seghik lagi tanggung le akibatnya. Ikut kome le ghase nok nolong-nolong le, kalu ghase ijok usoh ngate lagi. tapi teman ijok le gamok tengoh ini...baik teman pegi nogheh...

    ReplyDelete