Kemasukan beramai-ramai ahli MCA Perak ke dalam PKR sememangnya merungsingkan UMNO. Kemasukan mereka telah diraikan dalam satu majlis di dewan Jalan Tokong, Ipoh pada 5 September 2009. Majlis ini turut dihadiri oleh DSAI. Sama ada jumlah kemasukannya melebihi 600 atau kurang, ianya harus dilihat sebagai langkah serius PR untuk melumpuhkan UMNO.
Pimpinan utama UMNO sedar bahawa UMNO semakin ditinggalkan oleh rakan komponennya dalam BN. Pergolakan yang berlaku dalam MCA seolah-olah disengajakan oleh MCA bagi menghalalkan keperluan segera untuk mereka berhijrah kepada PR. Bilik-bilik yang disediakan di rumah BN terlalu uzur untuk MCA. UMNO telah memindahkan MCA ke bilik yang berhampiran dengan tandas. Ini kerana bilik VVIP yang mereka gunakan sebelum ini telah diberikan kepada rakan-rakan Tiong dari Sabah dan Sarawak. Najib 1Malaysia lebih mendengar dan menurut kata-kata Tiong berbanding kata-kata Ong. Ahli MCA tidak mahu menjadi melukut di tepi gantang dan dalam keadaan pipi mereka tersorong-sorong menghadapi kemelut perkembangan politik semasa.
Ringkasnya, Tiong hanya berhelah demi survival politik rakyat Sabah dan Sarawak, dan MCA pula secara sedar sedang memprotes ketuanan Melayu bawaan UMNO. Kedua-duanya yakin dengan ramalan fen-shui yang BN akan hilang kuasa pada PRU 13. Angka 13 itu sendiri membawa maksud sial dalam kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Cina. Kebiasaannya ramalan masyarakat Cina akan diusahakan pengrealisasiannya oleh mereka sendiri. Dengan kata lain masyarakat Cina berkewajipan untuk menyempurnakan ramalan fen-shui.
Di Perak, UMNO terlalu lemah. Musuh UMNO iaitu PAS dan PKR juga begitu lemah. Kita harus terima hakikat bahawa kekurangan yang ada pada PAS dan PKR telah dan sedang dibantu tutup oleh DAP. PKR semakin berjaya menarik keluar pengundi-pengundi bukan Melayu yang menyokong BN pada PRU 12 yang lalu. Maknanya sokongan bukan Melayu terutama pengundi Cina kepada PR adalah dalam gred A iaitu melepasi angka 80%.
Persoalannya PAS dan PKR Melayu masih lesu. Ibarat ayam berkokok tetapi ekor penuh tahi. Hanya hebat berbicara di atas pentas. Ahli ternganga sesama ahli. Pemidato kurang berusaha menambat hati pengundi UMNO kepada PR. Hanya berharap agar pengundi UMNO sedar sendiri. Kemudian menyalahkan pengundi Melayu yang tidak mengundi PR. Tidak ada beza yang ketara antara halatuju pimpinan negeri PAS dan PKR Melayu dengan UMNO. Masing-masing mengimpikan keuntungan atas angin. Sepanjang 11 bulan MB Nizar menerajui Perak, pemimpin-pemimpin negeri ini berebut-rebut mendapatkan harta peninggalan UMNO. Lantikan JKKKpun tidak menggambarkan kesepakatan antara PAS dan PKR Melayu.
Seperti kata MSK, rakyat sendiri yang memediakan rakyat. Rakyat menyokong PR bukan kerana usaha berstrategi PAS atau PKR Melayu tetapi adalah atas usaha rakyat sendiri. Rakyat geram dengan UMNO. Rakyat tidak lagi percaya kepada UMNO.Rakyat hanya menghalakan sokongan kepada yang menentang UMNO. Bermakna sokongan rakyat bukanlah berterusan sampai bila-bila. Andaikata UMNO memusing 360 darjah stail kepemimpinannya, pengundi jenis ini akan kembali kepada UMNO.
Pandangan sahabat blogger Manjong Mari yang sememangnya totok menyokong PAS perlu diambil kira. Pedulikan kawasan-kawasan tradisi. Yang penting ialah kemenangan. Jikalau dirasakan PAS lebih berpeluang untuk menang, biarlah PAS bertanding di situ. Begitu juga jikalau dirasakan yang PKR lebih berpotensi untuk menang, berilah laluan kepada PKR. Jangan dengki sesame PR.
Kepada pimpinan besar dan kecil Melayu PR, contohilah usaha berterusan PKR dan DAP menarik sokongan bukan Melayu kepada PR. Janganlah mengharapkan UMNO hancur dengan sendirinya. Cuba lihat, dalam keadaan UMNO dilanda masalah, unit sarafnya sentiasa berfungsi. Untuk menambahkan keberkesanan perjuangan, PAS dan PKR Melayu mestilah mewujudkan unit saraf di peringkat DUN dan parlimen.
No comments:
Post a Comment