Wednesday, July 15, 2009

PAS gagal menambah undi

Saya mencari semula keputusan PRU 12 bagi N41 Manek Urai tetapi tidak berjumpa. Seingat saya PAS menang dengan majoriti lebih 1300 hasil daripada lebih 5700 undi yang diterima oleh calon PAS iaitu arwah Pak Sue. Dalam PRK yang baru berlangsung ini, calon PAS Abe Uji telah berjaya mempertahankan kerusi PAS dengan majoriti 65 sahaja. Secara kasarnya penyokong PAS kecewa. Tetapi sebenarnya UMNO yang kecewa. UMNO kecewa kerana tidak mampu mencuri banyak undi PAS. Undi PAS merosot daripada 5700 ke angka 5300. Anggaplah 400 itu pengundi PAS yang tidak dapat pulang mengundi kerana halangan pekerjaan. UMNO sengaja menjadikan hari kerja sebagai hari pembuangan undi. UMNO pula terpaksa mengerah seluruh tenaga untuk menambahkan seribu undi yang mungkin daripada pengundinya yang tidak keluar mengundi pada PRU 12 yang lalu.

Jelaslah kepada kita yang pengundi PAS tidak berubah hati. Isu-isu tempatan dan nasional yang mewarnai PRK ini tidak begitu mendatangkan kesan kepada pengundi. Pengundi PAS tetap menyokong PAS. Penyokong UMNO pula terus menyokong UMNO. Isu royalti, isu jambatan, malah apa jua isu hanya menghangatkan pentas ceramah. Itu sahaja.

Patutlah awal-awal lagi PM Satu Malaysia memperkecilkan majoriti 1300 yang diperolehi oleh PAS sebaik sahaja arwah Pak Sue dikebumikan. Rupa-rupanya UMNO telah mengenalpasti ada lebih seribu penyokongnya yang tidak keluar mengundi pada PRU 12. Tugas UMNO di Manek Urai amat mudah iaitu memastikan seribu pengundi ini keluar mengundi. Pengundi ini dijemput dan dihantar pulang hingga ke muka pintu. Pengundi yang uzur dilayan seperti VVIP. Pengundi kategori ini mungkin juga diberi elaun khas sekurang-kurangnya RM300.

Oleh itu PAS janganlah terlalu kecewa. PAS sepatutnya bangga kerana pengundi setianya tetap tegar bersama PAS. PAS hanya perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengambil hati penyokong UMNO. Jangan pinggirkan mereka. Jangan rendahkan amalan UMNO yang suka melepak di kedai kopi. Jangan buatkan mereka tersipu-sipu dengan PAS. Dekatilah mereka. Masuklah ke dalam rumah mereka.

Berdasarkan keputusan PRK Manek Urai dan juga DUN Terong semasa PRK Bukit Gantang, ternyata UMNO masih gagah di perkampungan Melayu tradisional. Jikalau di Kelantan UMNO masih bernafas, sudah tentulah di negeri lain UMNO masih bertenaga. Oleh itu pemimpin dan pendokong PR hendaklah kreatif dan kritis ketika mencari langkah terbaik mengambil hati pengundi. Masalahnya di peringkat PR sendiripun masih ada jurang yang masih gagal diselesaikan oleh pimpinan pusat atau negeri. Penubuhan dan pembentukan organisasi PR di peringkat parlimen atau DUN masih lagi terkial-kial.

Di Perak, PR menuntut dan mendesak UMNO membubarkan DUN Perak. PR Perak begitu yakin boleh mengulangi semula kemenangan PRU 12. Setelah lebih lima bulan UMNO merampas Perak, tiada sebarang usaha berkesan yang dilakukan oleh PR Perak selain ceramah dan hi-tea. Bolehkah PR Perak merampas 27 DUN milik UMNO? Kemungkinan besar DUN kebanggaan PAS di Lubuk Merbau dan Alor Pongsu yang akan diratah oleh UMNO.

Berdasarkan sokongan statik orang Melayu terhadap PAS di Manek Urai, ada kemungkinan MB DPulau akan lebih yakin untuk membubarkan DUN Perak. Peluang UMNO untuk menang di Perak lebih cerah jikalau Manek Urai dijadikan ukuran. Lagipun DUN yang PAS menang di Perak bukanlah besar sangat majoritinya. PAS harus menerima hakikat bahawa PAS masih gagal menyerlahkan kebaikannya kepada pengundi Melayu. Agaknya kerana itulah PAS mahu mengikut jejak MB Nizar yang bertanding di kawasan pengundi pelbagai kaum, di DUN Pasir Panjang.

Apa-apapun tahniah kepada ADUN Manek Urai, YB. Mohd Fauzi Abdullah.

4 comments:

  1. saya sangat2 setuju dengan cara pemikiran dango mamamat... piece bro...

    ReplyDelete
  2. Dango,
    Ini sudah terbukti bahawa tak kira sebarang komponent parti dalam Pakatan Rakyat, jelas bahawa sokongan orang2 melayu masih kekal. Iaitu 50-50. Dengan itu kalau lah DUN Perak dibubarkan, kemungkinan DAP meletakkan calon2 melayu tidak akan menjejaskan prestasi PR.
    bahkan ianya lebih memantapkan pretasi PR kerana PAS boleh mengembelingkan sedaya upaya untuk menraihkan kerusi2 marginal dan mempertahankan kerusi2 marginalnya.
    PAS juga berhasrat untuk meluaskan skopnya ke Sarawak & Sabah. Potensi PAS untuk meraih satu kerusi lebih susah berbanding dengan DAP meletakkan calon2nya di Perak kalaulah DUN Perak dibubarkan
    Walaubagaimanapun, kemenangan tipis di Manek Urai telah menjejaskan kedudukan TGNA, Husam Musa & geng2nya. Kalaulah Hadi Awang mengambil kesempatan untuk mengukuhkan keddukan dia dengan menyingkirkan puak2 TGNA, ini akan menjejaskan PAS. PAS kenna memutuskan bahawa teruskan perjuangan dengan PR ataupun dengan UMNO
    Kalau masih Hadi ataupun Nasha menerajui, habislah PAS. kalau begitu, PR iaitu DAP & PKR kenna cari jalan terbaik untuk kesejahteraan rakyat

    ReplyDelete
  3. Takziah kepada kaum keluarga Teoh Beng Hock.Kematian mengejut beliau yang juga setiausaha politik exco Selangor,Ean Yong Hian Wah,telah menggemparkan negara ini.

    Menurut laporan laman web
    malaysiakini.com,beliau terbunuh selepas dipercayai terjatuh di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

    Kini timbul pelbagai spekulasi sama ada beliau dibunuh ataupun membunuh diri?Apapun rakyat tertanya-tanya mengapa beliau ditahan begitu lama untuk disoalsiasat.Ramai yang mempersoalkan prosedur soalsiasat yang dilakukan oleh pegawai-pegawai SPRM.Laporan akhbar mendedahkan Teoh dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada petang Rabu dan dibenarkan keluar dari ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira 3.45 pagi semalam.

    Satu lagi pertanyaan yang perlu dijawab oleh pihak SPRM,apakah ketika disoalsiasat,Teoh ditemani oleh peguambelanya.Di warung kopi dan gerai-gerai makan,orang ramai yang berang tertanya-tanya jika beliau membunuh diri,mengapa seluarnya koyak rabak?Mereka turut mempersoalkan layanan pegawai SPRM terhadap mendiang Teoh.Itu belum lagi persoalan sama ada beliau dibenarkan mandi,makan dan minum atau menukar pakaian.Tok bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden PAS,Salahuddin Ayub,pelik setelah selesai disoalsiasat pada pukul 3.45 pagi,mendiang teoh meminta untuk berehat di pejabat SPRM.Kebiasaannya,sesiapa sahaja setelah disoalsiasat akan pulang ke rumah.

    Kematian misteri mendiang Teoh telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan menjadi rentetan siri-siri kematian misteri sebelum ini seperti kematian Kugan di dalam lokap.Sebelum kebimbangan dan ketakutan rakyat tercetus,eloklah satu suruhanjaya di raja ditubuhkan untuk menyiasat kematian mendiang Teoh seperti yang dicadangkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sebelum rakyat hilang kepercayaan terhadap SPRM dan sebelum kredibilitinya tercemar,eloklah Suruhanjaya di Raja ditubuhkan segera menyiasat kematian mendiang Teoh.

    Kenapa Khir Toyo yang sedang menerima tekanan hebat daripada Pakatan Rakyat Selangor berhubung istana mewahnya yang dianggarkan RM24 juta dan mereka yang terlibat dalam skandal PKFZ tidak disoalsiasat seperti mendiang teoh.demikian luahan rasa penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.Mendiang Teoh adalah seorang warganegara Malaysia.PDRM perlu bersikap telus dan adil menyiasat kematian misterinya tanpa mengambil kira warna kulit,agama atau latar belakang politiknya.Itulah harapan kaum keluarga mendiang teoh dan kita semua berkongsi hasrat yang sama.

    Pegawai-pegawai SPRM yang telah terlibat menyoal-siasat mendiang Teoh,perlu ditahan reman untuk disoal-siasat oleh polis.Tok nasihatkan eloklah kerajaan BN akur dengan cadangan Pakatan rakyat supaya suruhanjaya di raja ditubuhkan untuk menyiasat kematian mendiang Teoh kerana rakyat tidak mahu lagi insiden mata lebam Anwar,kematian mengejut Kugan dalam lokap polis dan terkini kematian misteri mendiang Teoh di bangunan SPRM berulang lagi.

    Jika kerajaan BN gagal berbuat demikian dan dilihat oleh rakyat cuba menyembunyikan sesuatu,percayalah saat-saat tumbangnya kerajaan BN semakin hampir.

    Undi tak percaya rakyat akan diberikan kepada setiap pemimpin BN dalam PRU yang akan datang dan mereka akan kecundang seorang demi seorang,percayalah.

    ReplyDelete