Monday, May 25, 2009

Penanti : Tiga calon bebas tajaan UMNO?

Setelah UMNO mengumumkan penarikan diri daripada bertanding di PRK Penanti, saya merasakan bahawa UMNO tidak mahu mengambil risiko kalah dengan majoriti yang lebih besar. Saya juga merasakan yang UMNO amat kecewa apabila calon PR tidak diberikan kemenangan percuma. Lantas saya terfikir apakah PR yang menaja calon-calon bebas bagi memastikan akan adanya pilihanraya. PR tentu mahu membuktikan bahawa pengundinya akan bertambah di Penanti. Pertambahan jumlah undi yang diterima oleh PR akan menambahkan kesengsaraan UMNO.

Walaupun UMNO tidak bertanding di Penanti, PR masih tetap berkempen mendedahkan kelemahan UMNO dan PM Satu Malaysia. PR seolah-olah tidak pedulikan kelibat calon-calon bebas sehinggalah apabila Aminah Abdullah mula bersuara. Calon bebas cap kunci ini begitu berani menyerang PKR. Calon kunci ini diberitakan akan/telah membuat laporan kepada polis, SPRM dan SPR dengan menyertakan bukti yang kononnya PKR telah merasuahnya supaya tidak bertanding. Pada waktu yang sama juga calon ini ditawarkan jawatan KM1 oleh PKR sekiranya berjaya menewaskan calon PR dengan syarat kembali kepada PKR. Begitu celaru jalan ceritanya. PKR merasuah RM80k supaya calon ini tidak bertanding. Apabila calon ini masih berkeras mahu bertanding, ditawarkan pula jawatan KM1 apabila menang nanti. Nampak sangat yang PR tidak yakin akan menang di Penanti. Nampak sangat yang calon bebas ini lebih bertenaga daripada UMNO.

Lebih menarik lagi apabila SPR amat berminat melayani helah politik calon cap kunci. Pengerusi SPR begitu cepat menyambut permainan calon kunci sebagaimana cepatnya SPR menyambut permainan UMNO di dalam setiap pilihanraya yang membabitkan calon UMNO. Hati kecil saya membisikkan bahawa semua calon bebas ini ada penajanya. Hati kecil saya berani membisikkan bahawa penajanya ialah UMNO.

Sekiranya calon kunci itu ditaja oleh PKR semata-mata untuk mewujudkan pilihanraya, sudah tentu calon itu tidak akan menyusahkan PR. Tetapi sekarang calon itu telah dan sedang menyusahkan PR sehingga melibatkan polis, SPRM dan SPR. Kes ini sedikit sebanyak telah berjaya menenggelamkan isu-isu yang bersabit dengan UMNO. Secara tidak langsung UMNO berjaya juga menyerang PKR melalui calon kuncinya. Saya ingatkan Satu Malaysia takutkan Aminah Abdullah, rupa-rupanya Aminah Abdullah ini adalah spesis Altantuya belaan UMNO.

Kehadiran bekas calon cap payung Bukit Gantang, Kamarul Ramizu adalah sebagai pelengkap untuk menunjukkan sesiapa sahaja bebas bertanding. Kononnya amalan demokrasi di Malaysia masih subur. Apalah yang diharapkan oleh calon ini setelah memperolehi 62 undi di Bukit Gantang. Di Bukit Gantang sebagai peniaga. Di Penanti pula sebagai pakar motivasi. Di Bukit Gantang dihebohkan sebagai calon PEKIDA bertaraf ayahanda. Setelah saya meneliti setiap organisasi PEKIDA peringkat negeri atau Malaysia, langsung tidak terdapatpun nama beliau. Mungkin beliau ahli PEKIDA tanpa kad keahlian. Kehidupan sehariannyapun tidak sesempurna mana, tetapi masih mampu bertanding walaupun telah kehilangan wang pertaruhan dalam PRK Bukit Gantang. Betulkah calon ini bebas tanpa penaja? Bukankah calon ini pernah berkata bahawa beliau akan memperolehi sekurang-kurangnya 6200 undi UMNO di Penanti? Rugi besarlah PKR jikalau menaja calon cap payung ini.

Seorang lagi calon bebas ialah Nai Khan Ari yang berketurunan Siam. Apa yang diharapkan oleh UMNO ialah calon ini mampu mencuri undi pengundi bukan Melayu. Seterusnya pengundi yang mengundi calon PR akan merosot bilangannya. Inilah yang diharapkan oleh UMNO. Secara jujurnya adakah calon ini yakin yang dia akan menjadi wakil rakyat di Penanti? Adakah calon ini begitu pemurah sehingga sanggup mengeluarkan belanja yang banyak demi Penanti?

Insya Allah calon PR, Dr. Mansor Othman akan memenangi PRK Penanti dengan bilangan undi yang lebih besar. Melalui pembacaan, saya juga dimaklumkan bahawa Dr. Mansor akan diamanahkan jawatan KM1 Pulau Pinang. Tahniah.

Akhir bicara, saya gunakan kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih atas segala ilmu yang prof telah sampaikan kepada saya. Prof adalah pensyarah SAU 405 - Isu-Isu Dalam Masyarakat Tani. Saya adalah salah seorang pelajar prof pada tahun akhir 80-an. Prof amat baik dan sentiasa bersedia membantu saya menyelesaikan tugasan berkaitan. Walaupun tugasan saya A, gred keseluruhannya B kerana saya gagal memberikan jawapan terbaik dalam peperiksaan akhir.

Prof tetap guru saya walaupun hanya untuk tempoh satu semester ataupun 17 minggu. Khas untuk Dr. Mansor Othman, Selamat Hari Guru.



No comments:

Post a Comment