Friday, February 6, 2009

Patik di dango .. Tuanku di istana

Ampun tuanku, sembah patik harapkan diampun. Ampun tuanku kerana patik tidak biasa menyusun patah-patah bahasa istana untuk diucapkan kepada tuanku. Ampunkan patik kerana meluahkan isi hati patik secara maya. Ini kerana patik tidak mungkin berpeluang mengadap tuanku di istana. Patik hanya mampu melihat dari jauh akan kehebatan istana tuanku. Begitu tersergam indah berbanding dengan dango patik di hujung kampung.

Tuanku, izinkan patik meluahkan rasa sayu dan rasa hiba yang teramat sangat perihal negeri ini pada hari ini. Perihal akan ketentuan yang tuanku telah putuskan. Perihal yang tuanku putuskan atas bicara tuanku. Patik tergamam lesu letih lemah longlai dengan keputusan tuanku. Dan sebentar tadi patik maghrib dan isyak bersama bayangan keputusan tuanku. Patik sayu dan menangis di sejadah Allah. Patik yang begitu sukar mengalirkan air mata boleh menangis kerana keputusan tuanku petang tadi. Patik tidak menyangka begitu sekali keputusan tuanku.

Tuanku, patik teringat zaman sekolah. Cikgu patik semasa mengajar pernah memberitahu bahawa semua rakyat yang berusia atas 21 tahun layak mendapat kuasa menentukan sesebuah kerajaan pusat atau negeri melalui undinya dalam pilihanraya. Rakyat lebih berkuasa daripada pemimpin pada waktu itu. Pemimpin yang menang majoriti akan diistiharkan sebagai wakil rakyat. Kumpulan majoriti wakil rakyat ini akan memilih seseorang di kalangan mereka untuk dilantik sebagai Menteri Besar. Apabila seseorang Menteri Besar telah dilantik secara sah oleh istana, maka tempoh jawatannya hanya akan berakhir jikalau dia meninggal dunia, meletakkan jawatan, kalah dalam usul undi tidak percaya di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri ataupun setelah tuanku memperkenankan pembubaran DUN. Cikgu patik juga memberitahu bahawa budi bicara sultan hanya boleh digunakan apabila terdapat sebarang keraguan yang tidak boleh diselesaikan melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada. Jikalau peruntukan undang-undang itu telah sedia ada, maka undang-undang itu hendaklah diguna pakai. Itulah yang dimaksudkan dengan Sistem Pemerintahan Demokrasi & Raja Berperlembagaan.

Tuanku, setelah patik mendapat perkhabaran akan keputusan tuanku ini, patik menung, patik murung. Cikgu patik mengajar tidak betul. Cikgu patik dangkal ilmunya. Cikgu patik telah membohongi patik dan rakan-rakan patik. Patik dan rakan-rakan patik telah memanjangkan pembohongan cikgu patik ini kepada marhaen di maya ini. Patik malu kerana telah berbohong akan maksud Raja Berpelembagaan itu. Cikgu patik tidak layak menjadi cikgu. Sepatutnya cikgu patik mesti mengajar dan memberitahu patik bahawa sultan berkuasa mutlak menentukan nasib hidup rakyat di negeri ini.

Tuanku, di hati nurani patik terfikir kenapa tuanku tidak izinkan pembubaran DUN seperti yang dipohon oleh memanda tuanku. Jikalau pembubaran DUN boleh disamakan dengan membuang masa atau satu pembaziran, apakah jaminan kerajaan yang mengganti ini akan stabil atau semakin tidak dihormati oleh majoriti rakyat tuanku. Jikalau tuanku berat hati untuk membubarkan DUN Perak, tuanku boleh mengistiharkan kekosongan di tiga DUN Bebas. Ini tentu adil untuk kedua-dua pihak iaitu BN dan PR untuk dihakimi kembali oleh rakyat. Jikalau BN menang, PR akan menghormati kemenangan itu.

Tuanku, keputusan tuanku hari ini seolah-olah memperlihatkan bahawa tuanku lebih menyebelahi BN. Kasihan PR seolah-olah dilihat sebagai rakyat kelas kedua. Tolonglah tuanku. Patik merayu kepada tuanku sementara masa masih ada lagi untuk tuanku mengubah keputusan menangguhkan dahulu perlantikan Menteri Besar baru. Sekiranya tuanku tidak berkenan akan exco bukan Melayu yang lebih ramai bilangannya daripada Melayu, ia boleh diperbetulkan semula. Patik yakin PR akan terus menjunjung kedaulatan tuanku.

Ampunkan patik tuanku. Patik tidak beradab kepada tuanku. Patik sekadar meluahkan isi hati sedih dan kecewa yang entah bila akan kembali ceria.

Patik memohon mengundur diri. Ampun tuanku. Daulat tuanku.

3 comments:

  1. Salam Mamamat,
    Ramai yang tibai tuanku dalam web DYMM Sultan Perak. Nampaknya, rakyat mulai terkilan dengan sikap dan keputusan raja. Hormat mereka mulai pudar dan mungkin hilang.

    ReplyDelete
  2. salam mamamat
    teman pun sedey, terkilan & mcm2 jer..
    TAK SUKA , TAK SUKA, TAK SUKA...

    ReplyDelete
  3. jangan cakap DAULAT TUANKU lagi, pasal Sultan akan jawab 'JILAT JUBOR AKU'. KAH KAH KAH KAH KHAK PHUI!

    ReplyDelete