Showing posts with label santai minda. Show all posts
Showing posts with label santai minda. Show all posts

Wednesday, December 31, 2008

Tahun Baru 2009 .. Apa Khabar Kerajaan Perak Darul Ridzuan?

Hampir 10 bulan Pakatan Rakyat (PR) mentadbir dan memerintah negeri Perak. Allah dengan limpah kurniaNya telah memperkenankan impian majoriti kita untuk mentadbir negeri ini. Setelah menempuhi pahit getir onak ranjau berbisa, sedar tidak sedar sudah 10 bulan berlalu. Alhamdulillah negeri ini masih kekal dalam PR walaupun heboh di sana sini akan ada dua ADUN menyertai BN. Semoga negeri ini terus dilindungi Allah kekal bahagia bersama Pakatan Rakyat. Semoga tahun baru 2009 menjanjikan kebahagian sebagaimana manifesto ‘Negeri Berkebajikan’ yang telah berjaya menghuni minda setiap pengundi PR dan tidak terkecuali juga pengundi BN. Di sana sini rakyat bertanya akan ‘kebajikan’ yang dituntut dan didambakan oleh mereka.

Dalam tempoh 10 bulan ini kerajaan PR Perak masih menyempitkan maksud ‘kebajikan’. ‘Kebajikan’ hanya diukur berdasarkan kesengsaraan ekonomi. ‘Kebajikan’ hanya dilihat kepada ketidakmampuan rakyat mendapatkan kemudahan asas. ‘Kebajikan’ bermaksud memberikan hak milik tanah bergeran kepada penghuni-penghuni bergenerasi di tanah-tanah bertaraf TOL. Mangsa banjir, mangsa kebakaran, mangsa ribut dan pelbagai bencana lagi diberi bantuan sewajarnya walaupun ada yang diTOL atas nama sumbangan dan sedekah amal jariah kepada parti. Atau dengan kata mudahnya ‘kebajikan’ diberi dan diutamakan kepada rakyat yang susah daripada sudut lahiriahnya. Tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya melangsaikan janji manifesto ‘berkebajikan’.

Buat permulaan perbincangan, kita usah sembang tentang nasib orang kaya. Kita usah bincang tentang nasib mereka yang kais pagi makan sebulan atau kais pagi makan setahun. Cukup sekadar kita bincang tentang nasib yang menimpa rakan kita JKKK, yang kais pagi makan tengahari atau kais petang makan malam. Atau kita hadkan perbincangan kepada mereka yang kais pagi makan seminggu sahaja. Sebab kalau kita bincangkan ‘kebajikan’ rakyat yang mantap ekonominya, maksud ‘kebajikan’ itu akan menjadi lebih besar lagi. Lebih memeningkan.

Kerajaan PR Perak di awal pemerintahan telah memilih dan melantik ketua kampung dan sepuluh orang jawatankuasanya. Perlantikan mereka sebagai ketua kampung telahpun memasuki bulan keenam. Tugas mereka ialah melantik JKKK, berhubung baik dengan penghulu dan Penyelia DUN serta melaksanakan kehendak dan keputusan kerajaan negeri. Kesudahannya, ketua kampung pening kepala kerana ketua parti yang lebih berkuasa daripada Penyelia DUN. Penghulu pula lebih selesa berurusan dengan JKKKP. Penyelia DUN pening, ketua kampung sakit kepala.

Tidak terfikirkah kepada kerajaan negeri kenapa perkara-perkara sedemikian boleh berlaku? Tidak bolehkah kerajaan negeri melalui MB mengarahkan parti supaya bijak memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan urusan kepartian walaupun pendokongnya orang yang sama. Tidak bolehkah program-program kepartian tidak diadakan di Dewan Banquet di bangunan SUK? Bahkan kediaman MBpun tidak seharusnya digunakan untuk urusan kepartian. MB itu adalah satu institusi bukannya parti. Hormatilah institusi MB. Cukup, kembali kita kepada buah bicara asal.

Saya bawa kembali perbincangan ini kepada memahami istilah ‘kebajikan’ tadi. Ketua kampung tidak diberi pendedahan tentang tugasannya. Ada ketua kampung yang dilantik semata-mata untuk mengisi kekosongan jawatan. Ketua kampung gembira diberi watikah jawatan tetapi selepas itu dibiarkan. Ketua kampung teraba-raba mencari kekuatan baru. Mahu mencuba memimpin tetapi kurang yakin kerana gangguan parti. Mahu bertanya malu, nanti dikata tidak tahu walaupun sememangnya tidak tahu. Tidak bolehkah kerajaan mengadakan kursus khas untuk semua ketua kampung dan JKKKnya secara berperingkat-peringkat? Tidak bolehkah dibawa mereka berkursus dua tiga hari berelaun di luar daerah. Dedahkan mereka kepada tugasan dan tanggungjawab jawatan. Biar mereka berbengkel sesama mereka tanpa banyak rasa malu. Biar mereka membentuk keyakinan diri sesama mereka. Merekalah yang sepatutnya diharapkan untuk mencorak hala tuju anak buah di kampung. Betul gaya coraknya, bermakna selamatlah kerajaan PR di Perak.

Rumusannya ialah ilmu. Bukankah ilmu itu juga ‘kebajikan’. Bukankah ilmu akan menyelesaikan masalah? Bukankah ilmu akan meningkatkan ekonomi JKKK? Bukankah ilmu juga menambahkan kekayaan ekonomi negeri? Bukankah ilmu itu tuntutan agama? Bermakna ilmu itu penting. Dan ilmu itu adalah ‘kebajikan’ yang sebenar-benarnya. Kerajaan pernah berbangga bahawa ‘kami beri pancing, bukannya ikan’. Tahukah kerajaan bahawa ada di kalangan rakyat yang tidak tahu kemahiran memancing. Tidak kenal umpan cacing tanah dan cacing gelang. Apa guna ada pancing kalau tidak ada ilmu memancing. Kerana kurang berilmulah maka Dewan Banquet dan kediaman MB menjadi lokasi eksklusif program-program kepartian.

Dahulu kata PR berbeza dengan BN, tapi macam sama jer!

Salahkah saya melontarkan pandangan sebegini di ruangan ini?

Tuesday, December 30, 2008

Ketua Kampung Baru .. siapa terkilan .. MB Nizar atau Lee Boon Chye

Timbul satu hal lagi di Perak. Kali ini isu mengenai perlantikan ketua-ketua kampung baru. Sebelum ini difahamkan bahawa Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak telah memutuskan bahawa ketua-ketua kampung baru mesti dibuat secara lantikan bukannya secara pencalonan dan pemilihan melalui kaedah pengundian. Tetapi di Gopeng telah berlakunya sebaliknya. Penduduk-penduduk kampung baru tetap dengan pendirian memilih ketua kampung melalui pencalonan dan pengundian. Dan lebih menarik pencalonan dan kempen ini diselaraskan oleh ADUN Simpang Pulai dan AP Gopeng. Kedua-duanya mewakili PKR.

Berdasarkan maklumat ringkas ini, jelaslah bahawa ADUN dan AP PKR telah tidak menghormati keputusan MB Perak. MB Perak telah meminta supaya kedua-dua wakil rakyat ini menghantar laporan segera tentang tindakan mereka melanggar keputusan PR negeri. Hebat MB Nizar ni. Macam inilah MB yang saya mahukan. Tetapi apabila saya perhalusi semula, keputusan MB Nizar sebenarnya telah meletakkan MB pada tahap yang tidak boleh dibanggakan. Persoalan timbul kenapa dahulu di kampung-kampung Melayu pemilihan mesti dibuat melalui pencalonan dan pemilihan? Riuh ketika itu kut-kut yang menang nanti adalah UMNO. Dan memang ada kampung yang UMNO menang. Alasan MB, kaedah ini mesti diteruskan sebagai menghormati kehendak DYTM Raja Muda Perak. Sebagai rakyat yang menghormati institusi istana, saya terima dengan hati terbuka. Saya tafsir dan sanjung tinggi kerana MB faham akan maksud daulat yang dilafazkannya.

Setelah sembilan bulan berlalu, keputusan telah berubah. Ada pengecualian pada pemilihan ketua di kampung-kampung baru. Kebetulan penduduk di kampung-kampung baru adalah daripada komuniti Cina. Apakah orang-orang Cina ini tidak diperakui sebagai rakyat negeri Perak? Jikalau mereka rakyat Perak, kenapa kehendak DYTM Raja Muda tidak lagi dihormati? Apakah DYTM mengecualikan mereka? Sepatutnya dalam hal ini MB Nizar yang hantar laporan kepada ADUN dan AP PKR, bukannya mereka yang dipaksa hantar laporan kepada MB. Sepatutnya MB NIzar mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana mengusahakan kehendak DYTM. Melaksanakan kehendak DYTM bermakna memudahkan tugas MB dalam urusan pemilihan ketua kampung. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Saya cuba untuk tidak menafsir yang bukan-bukan, tetapi minda saya terus berfikir dan merencahkan siratnya kenapa kerajaan negeri lupa kepada keputusan asalnya dahulu. Mungkin MB tidak dipengaruhi oleh DAP tetapi terpaksa akur dengan keputusan mesyuarat. Mesyuarat memutuskan bahawa pemilihan ketua kampung baru mesti dibuat secara lantikan bukannya secara pemilihan awam. DAP tahu jikalau ketua kampung dibuat secara pemilihan, calon-calon ketua kampung DAP akan kalah. Apabila calonnya kalah, DAP tidak lagi relevan di Perak. DAP tidak mahu PKR kelihatan lebih kuat daripada DAP. DAP tahu jikalau diteruskan kaedah pemilihan ini, majoriti ketua kampung baru di Ipoh Barat adalah PKR. Ini kerana Lee Boon Chye membina kekuatan awalnya di Ipoh Barat bukannya di Gopeng. Sepatutnya PRU 2004, Lee Boon Chye yang bertanding di Ipoh Barat, bukannya Lim Kit Siang. Lim Kit Siang datang setelah segala-galanya teratur. Cacamarba Lee Boon Chye membina pengaruh baru di Gopeng pada tahun 2004 itu. Salahkah Lee Boon Chye membina kekuatannya sendiri di kalangan komuniti Cina? Apakah Lim Kit Siang dengki dan irihati melihat bahawa Lee Boon Chye lebih berpengaruh daripadanya di bumi Perak ini.

DSMB Nizar, maafkan saya.


Tuesday, December 23, 2008

Hudud .. kenapa tidak kata begini?

Dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani oleh raja-raja Melayu dua minggu sebelum 31 Ogos 1957 jelas menyatakan bahawa jikalau ada undang-undang negeri atau undang-undang lain yang bercanggah dengan Perlembagaan PTM, maka undang-undang itu terbatal dengan sendirinya. Perlembagaan yang menyentuh tentang agama Islam, bahasa Melayu, raja-raja Melayu dan hak keistimewaan Melayu hanya boleh dipinda setelah mendapat persetujuan dua pertiga anggota dewan rakyat/parlimen. Jikalau tak dapat, usah sembangler .. buang masa.

Kelantan dan Terengganu difahamkan telah merangka dan meluluskan undang-undang hudud tetapi masih tertangguh perlaksanaannya kerana kena pinda dan digubal dahulu undang-undang ini di peringkat dewan rakyat. Dalam tempoh ini DAP terang-terang menolak hudud. PKR pula serba salah dibuat oleh hudud yang menjadi perjuangan setiap muslim.

Tidak bolehkah pimpinan PAS dan pimpinan Melayu PKR berkata begini, "Undang-undang hudud hanya digunakan ke atas orang-orang Islam sahaja. Orang-orang bukan Islam masih menggunakan undang-undang yang sedia ada. Orang-orang bukan Islam diberi peluang dan ruang masa yang secukupnya untuk memahami hudud. Apabila orang-orang bukan Islam faham tentang hudud, mereka diberi kebebasan untuk memilih sama ada hudud atau sivil".

Saya merasakan jikalau hudud tidak dipaksakan kepada orang-orang bukan Islam, DAP tidak akan melenting. PKR tidak akan serba salah dan PAS mudah memulakan kerja. Usulkan di parlimen supaya kita boleh tengak mana satu AP Melayu yang tidak menyokong hudud. Umumkan nama AP Melayu yang menolak hudud.

DAP/MCA/MIC menentang hudud kerana melibatkan orang bukan Islam. Nah sekarang, hudud untuk orang-orang Islam sahaja. Takkan masih tentang kut?