Wednesday, April 15, 2009

Kenangan di KESAS

Selongkar punya selongkar, teman terjumpaler catatan lampau. Catatan ini pernah disiarkan di FGR, Laman M@rhaen dan Tranung Kite. Tunggang langgang tulisan teman pada masa itu. Maklumler baru belajor menulih ..


5 November 2000. Pastiku ingati sampai bila-bilapun. Aku bergerak dari rumah jam 7.00 pagi. Hantar anak aku yang kat Taski ABIM tu ke Ipoh untuk majlis anugerah kecemerlangannya. Isteri aku menemaninya di majlis itu. Pesan kat adik ipar aku supaya ambil mereka tengah hari nanti.


Aku sarapan jam 9.00 pagi setelah urusan pendaftaran kehadiran anak aku selesai. Isteri aku mencium tangan aku bila aku kata aku nak pergi Shah Alam. Begitu juga dengan anak aku. Jauh di sudut hati, tertangkapkah aku hari ini.


Jam 9.30 pagi aku bergerak kembali ke kampung untuk mengambil tiga orang lagi rakan yang berjanji akan turut serta. Sampai di kampung, ada dua kematian. Ziarah sebentar. Jam 10.30 pagi mula bergerak meninggalkan kampung. Melalui Lebuhraya Utara Selatan. Hampir ke simpang Bidor ada kereta jenazah yang mungkin membawa jenazah pancit tayarnya sedang berhenti di tepi jalan. Terdapat sebuah Honda Accord yang mungkin keluarga jenazah sedang berusaha membantu menukar tayar kereta jenazah itu. Simpati aku kepada jenazah itu. Tapi aku perlu sampai ke Shah Alam tengah hari. Lagipun ada keluarga jenazah membantu menukar tayar. Kalau tidak ada, terpaksalah aku membantu.


Sampai di tempat Rehat Ulu Bernam, kami singgah untuk makan tengah hari. Supaya nanti tidak lapar ketika berhimpun. Sampai di Jejantas Sungai Buluh, singgah lagi. Kali ini memenuhkan tangki minyak. Sebagai persediaan kalau sesak di jalan nanti. Telefon kawan yang telah sampai. Menurutnya semua jalan ke Jalan Kebun telah ditutup. Mereka sedang berkumpul di Masjid Shah Alam.


Sampai di Tol Shah Alam, kami ke tandas untuk buang air supaya nanti bila dah berhimpun kuranglah rasa nak buang air. Kami bertanya satu keluarga akan jalan yang mudah ke Jalan Kebun. Beliau mencadangkan kami pergi ke Masjid Shah Alam kerana di sana nanti pergerakan konvoi akan di atur. Serentak dengan itu hujan turun dengan lebat. Datang pula sebuah peronda polis. Aku dah mula gelisah. Tapi polis itu tak turun kereta sebab hujan lebat.


Aku mencadangkan agar kami terus bergerak, kerana mungkin pada waktu hujan ni polis tidak lagi buat sekatan. Kami bergerak Hujan rupanya tidak lama. Ada sekatan polis,tapi perjalanan kami tidak dihalang. Sampai di masjid, ramai yang menanti. Kami sembahyang jamak dahulu. Selepas itu A. Rustam Sani mencadangkan kami bergerak ke Tol Kesas. Kami bergerak berkonvoi . Sampai di simpang HICOM, polis tak bagi kami masuk. Kami berhenti di tepi jalan. Ada sebuah trak polis menghalang kenderaan dari asuk ke simpang itu.


Di ketika itu aku merasakan bahawa masing-masing berharap agar ada satu ketua untuk mendesak pihak polis mengubah traknya. Akupun mencadangkan agar bergerak ramai-ramai. Biarkan aku di depan. Asak kenderaan aku dari belakang supaya jalan raya di HICOM akan jem. Mereka ikut. Aku mula merapati trak polis. Polis tak bagi masuk. Aku kata aku dah tak boleh undur. Kereta di belakang bertambah. Laluan tersekat. Mahu tidak mahu polis terpaksa ubah trak dan kami dapat masuk ke simpang yang menuju ke Tol Kesas itu.


Aku melihat tanda arah .. simpang ke Kota Kemuning 2km lagi. Kenderaan kami dah tak boleh bergerak. Kami berjalan kaki. Aku tak tahu berapa km aku jalan kaki untuk sampai di Tol Kesas itu. Menurut mereka yang aku Tanya, lebih kurang 5km.


Di sepanjang perjalanan itu, ramai yang sembahyang Asar di tepi jalan, atas rumput dan berlapikkan kertas akhbar. Wuduk menggunakan air mineral dan air dari parit kecil di sepanjang lebuhraya itu. Subhanallah. Betapa besar keagunganMU ya Allah ..


Aku terus berjalan. Di udara helikopter polis tidak jemu-jemu mengawasi. Setiap kali melintas, setiap kali itulah laungan penghinaan terhadap polis tersembur dari mulut orang ramai. Di sebelah aku mendengar seorang India berkata, "Dah lebih pukui lima ini, ceramahpun dah abih".


Aku renung matanya, dalam hati sah ini sb. Beliau mungkin berharap agar aku mengiyakan kata-katanya, dan mungkin juga berharap aku dan kumpulan aku bersurai. Aku jawab, "Kami datang bukan untuk dengar ceramah, kalau nak dengar ceramah, kat kampungpun ada. Kami datang untuk memberi tekanan kepada Madey, untuk menunjukkan kepada Madey yang kami tidak akan berhenti selagi Madey dan kroni di ambang kuasa".


Sb tadi dah mula bergerak keluar dari kumpulan kami. Dalam hati aku, lantak kamu ler sb.

Kami mendengar satu letupan dan kelihatan asap berkepul di hadapan. Serentak dengan itu juga satu kumpulan yang membawa kain rentang sambil melaungkan reformasi dan takbir bergerak di jalan sebelah menuju ke arah kami. Kami berhenti untuk turut sama dalam kumpulan yang datang dari arah hadapan itu. Tak lama nampak pula Kak Wan di Wira Putih melambai tangan. Fadhil Noor di kereta belakang. Kami terus berarak dan berarak.


Aku pandang kanan, di sebelah aku ada Ezam dan Lokman . Aku menyertai mereka. Lokman memang mengenali aku. Aku bersalaman dengan mereka. Kami bertiga jalan seiringan. Biarlah apapun yang berlaku. Tindakan aku berjalan seiringan dengan mereka bermakna mendedahkan identiti diri aku. Aku dah sedia menghadapi sebarang risiko. Walaupun risiko dibuang kerja. Aku berbual dengan Ezam dan Lokman sambil melambai tangan kepada reformis yang lain.


Aku menahan sebuah kereta yang lalu. Minta ditumpangkan Ezam dan Lokman kerana perjalanan

masih jauh lagi. Ezam tak mahu.Tapi kerana desakan reformis yang tak sampai hati melihatnya berjalan kaki, beliau naik juga kereta tersebut. Ezam dan Lokman sekali lagi bersalam dengan aku. Ezam berkata, "Jumpa nanti di Lunas".


Aku meneruskan perjalanan. Kumpulan aku tadi entah di mana perginya. Laungan reformasi dan takbir bergemuruh. Reformis yang lain menceritakan yang seorang sb telah dipukui. Cermin sebuah kereta volvo telah dipecahkan oleh polis. Tuan punya Volvo jawab, "Tak mengapa, ini baru sedikit jihad".


Pukui 7.30 malam, aku sampai ke kereta aku. Kawan-kawan telah berada di situ. Kami bergerak pulang. Seseorang mencadangkan agar kami balik ikut Kelang. Beliau suruh ikut simpang Kota Kemuning. Banyak sangat bulatan di sepanjang jalan tersebut. Jalan tanah merahpun ada. Rupa-rupanya jalan ini tembus ke Jalan Kebun. Kami melihat tapak perhimpunan yang masih dikawal polis. Sempat juga melihat banyak kenderaan polis di satu sekolah. Aku tak tahu nama sekolah itu,sebab hari semakin gelap gelap.


Nampak simpang ke Kelang. Jalan sesak tapi masih boleh bergerak perlahan-lahan. Sampai di Tanjung Karang, kami singgah makan. Kemudian cari masjid. Di sepanjang jalan pulang terdapat tiga sekatan polis kepada kenderaan yang menuju ke arah Kuala Lumpur. Dalam hati, takut benar Madey ni ..


Akhirnya aku sampai ke rumah jam 2.30 pagi.


Pukui 8.00 pagi aku dah berada di pejabat dengan satu suasana. Suasana ceria!


FGR Mon Nov 6 19:02:38 2000



4 comments:

  1. Salam Mamamat,

    Entri ini amat nostalgik. Suka teman membacanya.

    ReplyDelete
  2. cerita-cerita cenggini elok disampaikan dari generasi ke generasi. yg kat atas nun paling elok baca. imbau kenangan lalu sambil muhasabah diri.

    http://prioryofjenin.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. bro..

    tempat jatuh lagi dikenang, ni kan pula tempat kena water canon..ye dak? hehe

    ReplyDelete
  4. aku pun ada kat sana masa tu...tak tahan nak tkencing...last-last pi tandas kat tol tu terjumpa fru pun tgh dok kencing...

    ReplyDelete