Monday, January 9, 2012

901 : Alhamdulillah ...



Editor Sinar Harian, Mazlinda Mohd Nor dalam satu temuramah eksklusif telah mengungkap perasaan wanita tabah itu di sebalik khabar gembira tersebut.
Dalam temuramah tersebut, Azizah menceritakan saat-saat di pagi Anwar akan menghadapi keputusan liwatnya di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur 9 Januari-semalam-detik ketika Anwar bersiap untuk ke mahkmah dan sayu seorang isteri-yang mungkin tidak berkesempatan untuk bersarapan bersama selepas itu.
“Abang Nuar sudah siap berpakaian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplement yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.
Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?”
Hati Azizah (gambar) seakan tidak tenang dalam menghadapi berita yang mungkin mendukacitakan buat keluarganya.
“Ya Tuhan. Jauhilah kami dari berita duka itu.”
Namun begitu, sebagai seorang suami, Anwar seperti memahami garisan wajah di muka Azizah.
“Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama,” kata Anwar Ibrahim kepada Azizah, di pagi penentuan segala-galanya buat keluarga itu.
Keluarga mereka sudah terlalu banyak menerima dugaan sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecilnya.
Namun Azizah tetap yakin, Allah hanya menduga umatnya setakat mana umatnya itu mampu untuk menahan dugaan tersebut.
“Ya Rahman ... jika ini laluan yang Engkau tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan.”
Hidup keluarga pasangan Azizah dan Anwar telah teruji sejak dua setengah tahun lalu, ibarat seperti mati perlahan-lahan menurut Azizah.
“ Fitnah memang racun yang membunuh”
“Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati Tuhan. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan,” kata Azizah.
“Ya Allah ... Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan, berilah kami kemuliaan.
Disebalik kepasrahan menghadapi segala kemungkinan itu, Azizah dikuatkan semangat dengan kehadiran semua anak dan menantunya yang sudah bersiap sedia menghadapi detik 9 Januari 2012.
“Ini juga kebesaran Tuhan. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu”.
Anak-anaknya tenang keluar menemani ayah mereka untuk keputusan mahkamah tersebut.
“Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama”.
Hatinya terkenang saat pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sebelumnya. Mereka kelaparan dan menikmati juadah sekeluarga di rumah.
“Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.”
“Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?”
“Ya Rahman ... Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan, jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!”
Sepanjang perjalanan ke mahkamah, Azizah tidak pernah berhenti berdoa. Dia mengharapkan kemungkinan yang bermain di fikirannya akan menjadi suatu kejutan atas kekuasaan Tuhan.
Sampainya di kawasan Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta, ia sudah penuh dengan manusia. Azizah mengakui dirinya gementar melihat keadaan itu.
Namun dia bulatkan tekad dan menghampiri bangunan yang mungkin bakal mengubah nasib keluarganya sekali lagi selepas 1998.
“Kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.”
Namun begitu, hatinya berbolak-balik dan menjadi tidak keruan apabila melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
“Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?” Persoalan itu bermain di benaknya.
“Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah... walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.”
Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.
“Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.
“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan.” Kata Hakim yang membacakan keputusan kes.
Azizah bersyukur apabila hakim membacakan keputusan yang memberi makna yang paling besar dalam hidupnya.
“Ya Allah... rahmat apakah yang Engkau berikan kepada kami, terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini.”
“Abang Nuar bebas!”
Waktu itu, jelas Azizah, seisi keluarganya termasuk anak-anak dan menantunya menangis kesyukuran.
Dia memeluk erat tubuh suaminya dan dibalas dengan pelukan yang kejap.
“Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada Allah”
Saat itu, Azizah terasa segala derita dan sengsaranya bagai terlerai dari tubuh dan jiwanya.
“Ya Allah, Engkaulah sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu, dan lebih mengetahui”.
“Syukur Ya Allah kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira.”
Tambah Azizah, dalam perjalanan pulang dari mahkamah, mereka singgah di Masjid Segambut untuk menunaikan solat Syukur tanda terima kasih dan bersyukur kepada Allah di atas pembebasan Anwar.
Dadanya terasa lapang dan lega terhadap pembebasan Anwar hari itu.
“Terima kasih Ya Allah, Engkau jawab munajat kami, Engkau lerai derita kami.”

1 comment:

  1. Salam,

    Semoga tiada lagi sambungan dgn episod filem biru dan 'mangsa' baru. Letih! Apa2 pun Alhmadulillah DSAI lepas...setakat ni.

    ReplyDelete