Tuesday, February 9, 2010

Demi kelangsungan UMNO, MB Nizar disahkan sebagai MB Perak

Beberapa jam lagi (itupun kalau tidak ditangguhkan) MB Perak akan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan, sama ada MB Nizar ataupun MB DPulau. MB Nizar adalah amanah majoriti rakyat untuk memimpin Perak, manakala MB DPulau pula adalah amanah istana. Akibat dua amanah ini, maka berlakulah pertembungan antara kehendak istana dan kehendak rakyat. Namun begitu majoriti rakyat Perak amat mengerti yang istana telah diperangkap atau terperangkap dalam permainan licik dan helah minoriti UMNO. Dan kekalutan politik Perak ini telah memakan masa setahun.

Beberapa hari ini saya ditanya oleh rakan-rakan tentang harapan saya akan keputusan hari Selasa, 9 Februari 2010. Saya jawab mudah sahaja, saya harap MB DPulau akan disahkan sebagai MB Perak.

Melopong rakan PR dan terkejut rakan UMNO mendengar jawapan saya. Dengan nada hampir serentak, mereka bertanya kenapa? Kenapa mahukan MB DPulau dan bukannya MB Nizar sebagai MB Perak?

Saya jawab, secara emosi dan berdasarkan sedikit pemahaman perundangan saya, saya mahukan MB Nizar yang disahkan sebagai MB Perak. Namun berdasarkan pemikiran dan pengamatan politik hasil sedikit ilmu politik saya, lebih baik MB DPulau dibiarkan terus menyamar sebagai MB Perak. Mengesahkan MB Nizar sebagai MB Perak hanya akan mendatangkan masalah yang lebih rumit kepada masa depan PR khususnya menjelang PRU 13.

Jikalau MB Nizar yang diumumkan sebagai MB Perak oleh mahkamah, sudah tentu MB Nizar akan segera mengotakan janjinya untuk memohon perkenan istana bagi membubarkan DUN Perak. Istana dijangka akan segera memperkenankan permintaan MB Nizar. Istana tidak mahu dipersalahkan lagi oleh rakyatnya atas kemelut politik yang melanda negerinya.

Pada waktu yang sama pelbagai saman menyaman akan berlaku antara PR dan UMNO. Ketua Kampung PR sudah tentu menuntut elaun tertunggak. Ketua Kampung UMNO sudah tentu tidak mahu memulangkan elaun yang telah diterima. Dan UMNO seperti biasa dengan kerjasama agensi pusat akan menyalahkan PR melalui ‘jarum halusnya’.

Andaikata PR kekal menang dalam PRU Perak, sudah tentu kemenangannya masih ‘cupoi’. Dan lebih menarik lagi jikalau MB NIzar yang dicalonkan semula sebagai MB Perak tidak mendapat perkenan istana. Ingat, memang benar istana tidak boleh memecat MB tetapi istana amat berkuasa dalam memilih MBnya. Mungkin istana akan memilih ADUN PR yang paling lemah sebagai MB Perak. Atau istana sengaja memilih ADUN DAP sebagai MB Perak. Bukankah ini hanya akan menyumbang masalah besar kepada PR dalam PRU 13 nanti?

UMNO tidak akan berdiam diri walaupun kalah di Perak. Lihat sahaja suasana politik di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan. UMNO sentiasa menggunakan segala sumber dan kuasa pusatnya untuk melumpuhkan negeri PR. Apakah Perak boleh terlepas daripada gangguan UMNO? Jangan harap. Bahkan mungkin isu MB Nizar tidak dilantik semula sebagai MB Perak akan dihebohkan sebagai kemurkaan istana kepada MB Nizar. Dan sudah tentu PR akan menghabiskan banyak masanya untuk menjawab tohmahan UMNO. Akhirnya rakyat akan bosan dengan politik kerana politik itu membuang masa rakyat.

Komponen PR juga masih belum serasi. Masih longgar. Sesama PASpun bermasalah. Keputusan JK Disiplin PASpun dipertikaikan oleh pimpinan PAS. Permasalahan dalam PKR lagi rumit. Bagaimana boleh berlaku pertembungan antara YB PKR dan YB PAS? Bagaimana boleh berlaku protes terbuka YB PKR dengan Lim Guan Eng di Pulau Pinang? Ketika DSAI sedang menghadapi fitnah liwat di mahkamah, anak buah PKRnya yang berstatus YB berperangai seperti UMNO.

Dengan semua isu yang belum selesai ini, apakah PR akan aman mentadbir Perak? Tidakkah PR terfikir, mungkin lebih banyak kepincangan PR akan berjaya direka oleh UMNO tanpa sempat PR menepisnya. Atau mungkin akan berulang lagi kisah lompatan ADUN-ADUN PR kepada UMNO.

Masa depan politik PR Perak bertambah parah jikalau UMNO yang menang dalam PRU Perak. Hasrat untuk PR menambah kerusi parlimen dalam PRU 13 tidak akan membuahkan hasil kerana negeri diterajui oleh UMNO. Segala kemudahan negeri akan digunakan oleh UMNO untuk melumpuhkan kekuatan PR dalam PRU 13.

Oleh itu biarkanlah MB DPulau dan UMNO ‘mengerjakan’ Perak sehingga PRU 13. Saya yakin yang masa depan politik PR lebih cerah jikalau MB DPulau dibiarkan di kerusi MBnya.

Saya juga terfikir yang sebenarnya pimpinan PR Perak tidak menjangka Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya hari ini. Saya berpendapat sokongan rakyat kepada PR akan terus mantap dan kuat selagi status MB Perak dipendamkan. Rakyat begitu bersimpati dengan nasib yang menimpa MB Nizar.

Setelah direnung dan dimenung demi kelangsungan UMNO, saya berkeyakinan Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan MB Nizar sebagai MB Perak yang sah.

2 comments:

  1. Aku memikrkan yang hampir sama tapi ko doh pecah lubang kat AMNO ni jadi dia orang akan mengunakan idea ko nanti. AMNO mana ada otak yang sebaik engko tu. Jadi mereka akan mengunkan idea ko punya. Ko silap pecah lubang ini.

    ReplyDelete
  2. takdernyer... Zambry dah menang tu... 5-0 lagi

    ReplyDelete