Tuesday, February 3, 2009

CERIA di belakang dango ..

Deretan pasu sutera di sepanjang pagar

Hari ini 3 Februari 2009 adalah hari cuti di seluruh negeri Perak. Cuti sempena Hari Jubli Perak Pemerintahan DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Teman gunakan sepenuhnya hari ini untuk memindahkan anak-anak pokok sutera dan anggur ke dalam pasu. Keratan-keratan pokok sutera dan anggur ini adalah pemberian Dr. Wahab untuk CERIA. Hari ini teman begitu tenang dan ceria bersama anak-anak CERIA.

Lebih kurang sebulan keratan anak-anak pokok ini telah disemai di dalam polybag. MSK kutuk teman kerana cucuk sebatang jer dalam setiap polybag. Polybag itu masih elok untuk digunakan semula setelah anak-anak pokok dipindahkan ke dalam pasu. Walaupun teman ada tanah pusaka yang boleh ditanam dengan anak-anak sutera, teman tak daya nak menjaga dan menjenguknya setiap hari. Buat permulaan ini teman gunakan pasu yang sedia ada. Tak cukup pasu teman beli pasu yang murah, RM2.50 jer. Bahagian bawah taruh pasir seinci, kemudian taruh tanah kompos campur cebisan sabut. Bahagian atas taruh pasir supaya nampak cerah. Teman susun pasu-pasu itu di bahagian belakang dango. Bahagian belakang dango teman redup selepas pukui 12.00 tengahari. Nampak CERIA belakang dango teman.


Buah sutera .. Dr. Wahab kata enam bulan lagi boleh makan

CERIA adalah ilham Dr. Wahab dan MSK. Center of Economic Research an Innovation Agriculture. Betui ke salah maksud dan ejaannya, teman tak tahu. Janji CERIA. Pokok sutera adalah tanaman baru yang mahu diperkenalkan di negeri Pakatan Rakyat. Daun pokok sutera begitu sinonim sebagai makanan ulat sutera yang boleh menghasilkan kain sutera. CERIA bukan bertujuan untuk menternak ulat sutera. Jauh panggang daripada api untuk menghasilkan kain sutera. Tetapi hasil sutera apabila dipasarkan akan mampu membeli kain sutera. Nah, dua tiga tahun lagi makcik dan opah di kampung-kampung tradisional berpakaian sutera bertandang dan ziarah ke rumah jiran.

Sebagai promosi permulaan, pokok sutera ini boleh berbuah. Bermula dengan buah muda yang hijau, kemudian menjadi merah sebelum masak ranum berwarna hitam. Dr. Wahab dengan yakin memberitahu bahawa buah yang berwarna hitam boleh terus dimakan. Manis. Boleh juga dibuat jus sutera. Berkhasiat mencegah kencing manis jikalau dijadikan sebagai minuman rutin. Bertuah sungguh tetamu yang datang dijamu dengan buah dan jus sutera. Boleh petik sendiri. Khasiat daun .. citer lain kali. Kalau tak sabar sila baca di http://kebunpokoksutera.blogspot.com/


Keratan anggur


Pokok sutera adalah tanaman baru untuk rakyat. Pokok sutera seharusnya ditaja tanam oleh setiap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Dr. Wahab sudi mencurahkan ilmunya. Dr. Wahab belum bersedia untuk menjual ilmunya kepada pihak persendirian walaupun pernah ditawarkan ratusan ribu. Beliau mahukan jutaan rupiah. Dr. Wahab mahu agar pokok sutera menjadi antara sumber ekonomi masyarakat kampung. Masyarakat Melayu. Bermula sebagai pemakan buah dan peminum jus sekeluarga kepada membekal dan memasarkan buah dan daun ke kilang-kilang untuk diproses sebagai jus dan teh. Mungkin juga boleh menghasilkan kapsul sutera.


Keratan sutera dan anggur dalam ICU/kuarantin

CERIA mengharapkan kerajaan negeri khususnya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membantu memperkenalkan pokok sutera sebagai tanaman baru Pakatan Rakyat. Tidak perlu kami memperkenalkan diri dan menjaja CERIA di SUK. Itu cara kerajaan terdahulu. Sepatutnya pembesar-pembesar di SUK mencari dan menemui kami bertanya akan CERIA. Sebab jikalau CERIA yang mengadap pembesar SUK, CERIA akan diminta sediakan kertas kerja atau proposal. CERIA tidak mahu membuang masa menyediakan proposal kerana itu bukan kepakaran kami. Kepakaran kami melalui Dr. Wahab ialah memastikan pokok sutera yang sihat lagi subur.

CERIA mengharapkan kerajaan negeri menyediakan tapak tanah dua atau tiga ekar untuk tanaman sutera. Gembur tanah dengan traktor. Pagar keliling tanah untuk elak gangguan babi. Paip air bergetah panjang dan bil air ditanggung oleh kerajaan. Sebahagian tanah hendaklah dibumbung dengan plastik hitam penahan cahaya. Sediakan upah RM1000.00 sebulan untuk dua orang pekerja sepenuh masa. Itu sahaja. Membazirker? Elaun untuk kami dua tiga orang ini iaitu teman,MSK dan Dr. Wahab tidak perlu disediakan. Kami akan latih dan jenguk pokok sutera dan pekerja sekali sekala di pusat CERIA. Tapi jikalau kerajaan negeri menyediakan elaun perbatuan, kami boleh kerap datang.

Lain kali sambung …


DUN Perak akan dibubarkan ... SPR tolak PRK Behrang & Changkat Jering

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa kosong masih lagi disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR.

Dalam mesyuarat khasnya pagi ini, SPR memutuskan wujud keraguan pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Osman Jailu masing-masing sebagai wakil-wakil Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Aziz Yusuf mengumumkan demikian susulan wujud kekeliruan selepas Speaker DUN Perak V Sivakumar menyerahkan surat-surat tersebut kepada SPR negeri semalam.

Pada hari yang sama Jamaluddin dan Mohd Osman turut menyerahkan surat, menyatakan bahawa surat peletakan mereka itu tidak berkuatkuasa.

Surat peletakan jawatan itu diserahkan selepas desas-desus kedua-duanya akan meninggalkan PKR dan menyertai BN sejak minggu lepas.

Jamaluddin dan Mohd Osman semalam bagaimanapun menyatakan akan kembali bertugas seperti biasa dan "tidak timbul mereka telah bertukar parti."
Malaysia Kini

Monday, February 2, 2009

Jamal .. maafkan teman. Semuanya kerana rakyat

Ini komen akhir saya tentang dua exco itu. Komentar untuk merumuskan mengapa mereka berdua menjadi ‘satu senpun tak laku’. Sekiranya SPR memutuskan tiada PRK, anggaplah mereka berdua telah ‘mati’. Mati bersama ego tamak hakap dan haloba.

Sebaik sahaja PRU 13 berjaya memenangkan PR di Perak, saya dihubungi oleh pimpinan PKR negeri menanyakan pendapat saya tentang siapakah yang layak menjadi MB Perak. Secara spontan saya menjawab bahawa tiada seorangpun YB PKR Perak yang menang layak menjadi MB. Calon-calon MB PKR telah tewas di Kg. Gajah, Bukit Chandan dan Bota. Saya tegas mencadangkan jawatan MB itu diberikan kepada PAS. Berikan jawatan MB kepada Nizar kerana Nizar lebih memahami PKR berbanding rakan-rakan PAS yang lain. Ini kerana MB Nizar adalah adik kepada arwah Cikgu Khalil Shah, mantan Pengerusi Perhubungan PKR Perak. Jikalau arwah banyak idea, tentulah adiknya juga begitu. Mungkin lebih hebat lagi kerana Nizar lebih mudah menggarap dan mengolah perjuangan PAS dan PKR untuk disebatikan dalam pentadbiran negeri. DAP akan menyokong sesiapa sahaja yang dicadangkan oleh PKR.

Pelik bin ajaib, si Jamal ada hati nak jadi MB Perak. Gara-gara kerenah si Jamal inilah, tarikh angkat sumpah MB Perak tertangguh. Betapa malunya PR Perak kerana istana menunjuk ajar mereka melalui Aku Janji yang mesti ditandatangani oleh semua YB PR. Mereka bersumpah taat setia bersama PR. Jikalau tidak setia dengan PR, maka kerusi DUN diistiharkan kosong serta merta.

Si Jamal dilantik sebagai exco walaupun tidak layak. Exco Pertanian. Exco yang akan menghubungkan terus kerajaan negeri dengan masyarakat Melayu kampung melalui aktiviti-aktiviti pertanian. Exco yang boleh menerobos kubu-kubu kuat di kampung-kampung UMNO. Tetapi rupa-rupanya si Jamal ini yang diterobos oleh UMNO.

Si Jamal dan sahabatnya si Osman gagal menyerlahkan bidang tugas mereka selaku exco di Perak. MB Nizarpun bosan dengan kerenah mereka berdua yang hanya ‘makan gaji buta’. Pimpinan PKR Perak yang diterajui oleh Hj. Ismail ketika itu meminta agar kedua exco ini membentangkan program yang berkaitan dengan bidang tugas exco mereka kepada parti. Mereka gagal. PKR Perak cuba untuk membantu mereka dengan menawarkan segala kepakaran yang berkaitan dengan pertanian dan pelancongan. Kedua exco tetap begitu, ‘bodoh sombong’.

Lalu si Jamal mengadu kepada Azmin dan seterusnya Azmin memanjangkan kepada DSAI. PKR Perak telah mengganggu tugas mereka sebagai exco. Mereka mendakwa tidak boleh buat kerja selagi ada Hj. Ismail di kerusi tertinggi PKR Perak. Mereka tiada kuasa mutlak melaksanakan program pembangunan ekonomi pertanian dan pelancongan negeri. Ketidakpuasan hati mereka didengari dan dipenuhi oleh DSAI. DSAI cuba berprasangka baik, mungkin betul luahan hati si Jamal ini. Lagipun DSAI tahu bahawa Hj. Ismail sememangnya garang dan tegas memimpin PKR Perak. Lalu Hj. Osman yang sememangnya rapat dengan si Jamal dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Perak dan si Jamal pula dilantik sebagai timbalannya. Akhirnya si Jamal telah memiliki kuasa yang mahu dimilikinya. Mudahlah si Jamal merangka dan melaksanakan pembangunan pertanian negeri nanti.

Tunggu punya tunggu, nanti punya nanti, satu habuk ideapun tiada yang keluar daripada mulut mereka berdua sama ada melalui mesyuarat exco negeri yang dipengerusikan oleh MB Nizar atau melalui mesyuarat PKR Perak. Sebab itu saya pernah katakan bahawa mereka tiada nilai walaupun satu sen. Mereka pergi bukan dihalau, tetapi pergi kerana menanggung malu yang amat sangat. Malu kerana kebodohan dan ketenginan mereka telah begitu terserlah. Mereka berasa begitu kerdil berhadapan dengan MB dan rakan-rakan exco yang lain. Mereka melarikan diri kepada UMNO walaupun sedar yang UMNO hanya memperalatkan mereka. Saya pernah menulis sebelum ini bahawa kedua exco ini tiada nilai kepada UMNO setelah YB. Bota keluar daripada UMNO. Padan muka mereka berdua.

Saya yakin mereka hilang bukan kerana tawaran wang berjuta. Mereka mengadap UMNO bukan kerana minta dibebaskan daripada kes rasuah yang akan mula dibicarakan pada 10 Feb. ini. Kaitan mereka dengan kes ini begitu longgar. Mustahil si Jamal tidak mengerti dengan permainan helah UMNO. Mustahil si Osman memerlukan wang berjuta kerana diapun datang daripada keluarga berada. Mustahil .. mustahil ..

Kecuali satu alasan sahaja, mereka hilang kerana malu kepada rakyat Perak. Mereka malu akan sifat kebodohsombong mereka kepada MB dan PKR. Mereka malu berhadapan dengan rakyat dan penyokong yang mengundi mereka di DUN Behrang dan Changkat Jering. Mereka malu secara bersama. Hari ini mereka sakit bersama lagi. Macam-macam ..

Rumusannya, mereka hanya pandai komplen tetapi tidak pandai buat kerja. Eloklah beredar ..

Jamal .. Kite tetap kawan walaupun kite berkelahi kerana rakyat. Nanti kita pegi tengak bola sama-sama yer. Teman belanja mike makan kueytiaw kerang dan teh tarik sebelum masuk stadium. Mike jangan ceghite lagi pasai politik. Kite citer pasai bola pulak. Teman janji tak citer lagi pasai mike di sini.

YAB MB .. Bubarkan Sahaja DUN Perak

Izinkan saya untuk menongkah arus seketika. Keadaan politik di Perak masih bercelaru. Sebentar tadi dua exco telah mengosongkan kerusi DUN mereka. Pada waktu yang sama juga Timbalan Speaker Perak diwawarkan telah menyertai MCA. Terkini semua mereka telah menafikannya. Timbalan speaker masih kekal bersama DAP. Dua exco pula membuat penafian telah mengosongkan kerusi DUN mereka. Dua exco ini tidak langsung menyebut sokongan dan komitmen mereka kepada PR. Bermakna mereka berdua telah pergi meninggalkan kerajaan PR Perak. Semoga Jamal dan Osman mampu hidup berbahagia dalam dunia ‘bebas’ mereka.

Sekiranya betul dua exco mengosongkan kerusi DUN, bermakna dua PRK serentak dalam tempoh 60 hari di DUN Behrang dan DUN Changkat Jering. PR Perak menjadi 31 + 1 – 2 = 30. Sekiranya timbalan speaker benar-benar menyertai MCA, PR menjadi 30 – 1 = 29. BN pula 28 – 1 + 1 = 28. Maknanya sementara menunggu dua PRK ini, PR 29 dan BN 28. Ditakdirkan BN menang dua PRK ini, BN akan menjadi 28 + 2 = 30. PR pula masih kekal di angka 29. Ketika ini BN akan menguasai kembali Negeri Perak. Sekiranya timbalan speaker tetap setia dengan DAP, PR akan terus memimpin Perak walaupun mungkin menghadapi kekalahan di kedua-dua DUN tersebut. Jikalau menangpun cerita lama akan tetap berulang dan PR Perak akan hanya membuang masa melayan kerenah politik yang tiada kesudahan sehinggalah PRU 13.

Jamal mewakili DUN Behrang. Kapt. (B) Osman pula mewakili DUN Changkat Jering. Sepanjang sepuluh bulan mereka menjadi wakil rakyat dan exco, tiada langsung program yang jelas kepada pengundi di kawasan mereka. Jamal tidak begitu bijak merencanakan pembangunan ekonomi pertanian di Behrang. Osman pula gagal menjadikan Changkat Jering sebagai destinasi percutian bertaraf dunia. PR akan kehilangan banyak undi di sini. Silap gaya boleh kalah kerana liabiliti mereka. Bersediakah PR untuk kalah di DUN-DUN ini. Sedikit sebanyak kemenangan BN dalam PRK ini akan mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada BN. PR harus memikirkan beberapa langkah untuk membunuh BN secara total.

Saya berpendapat lebih baik YAB MB Perak bubarkan DUN Perak. Jangan sayangkan jawatan. Sayangilah rakyat dan PR. PR berpotensi akan menang di banyak kerusi milik UMNO. DAP dijangka mudah mengekalkan rekod bersihnya di 18 DUN. PAS mampu mengekalkan 6 DUN yang sedia ada. PKR pula mungkin hilang dua atau tiga DUN kerana kelemahan wakil rakyat yang sedia ada. Dan dua atau tiga DUN inilah yang menjadi target BN. Tetapi harus difikirkan secara teliti bahawa PR berpeluang untuk menang di 12 DUN milik UMNO sekiranya DUN Perak dibubarkan. Kemenangan PR ke atas 10 atau 12 DUN milik UMNO ini nanti bukan sahaja mengukuhkan pemerintahan PR di Perak tetapi juga akan mampu mempusarakan UMNO. Tambah-tambah dalam suasana UMNO telah kehilangan ‘mood’ pilihanraya setelah kalah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu serta tindakan keluar parti ADUN Bota..

12 DUN berkenaan ialah N5 Selama, N6 Kubu Gajah, N15 Trong, N19 Chenderoh, N21 Lintang, N23 Manjoi, N35 Manong, N36 Pengkalan Baharu, N 39 Bota, N43 Sungai Rapat, N48 Sungai Manik dan N49 Kg. Gajah. Mungkin gelombang kemasukan YB Dato’ Nasarudin Hashim mampu menenggelamkan UMNO di N38 Belanja. Di DUN-DUN yang dinyatakan ini menyaksikan UMNO hanya menang majoriti di bawah 1000 undi. Cuba kita renungkan sekiranya kerusi yang dimenangi PR ialah 29 + 10 = 39. Ketika ini bukan sahaja UMNO Perak tidak bermaya, tetapi UMNO Malaysia mungkin tidak sempat mengadakan Mesyuarat Agongnya untuk menobatkan Najib sebagai Presiden UMNO.

Kepada pimpinan PR Perak, fikir dan timbang-timbangkanlah saranan agar DUN Perak dibubarkan sebaik sahaja selesainya Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 3 Februari 2009 ini.

Daulat Tuanku.

Sunday, February 1, 2009

Alhamdulillah .. DUN Behrang & DUN Changkat Jering dikosongkan

Menurut buletin TV3, kedua2 exco telah mengosongkan kerusi DUN masing-masing. Satu PRK di Behrang dan Changkat Jering akan diadakan dalam tempoh 60 hari. 'Pemergian' mereka dialu2kan.

Oleh kerana kedua2 exco itu telah 'pergi' .. teman tarik balik artikel kisah rasuah tadi.

Kepada kedua2 exco, selamat bersara terus dari dunia politik. Kalo kome datang ngocah, teman akan ngocah kome lagi. Selamat berehat.

Catatan
N14 Changkat Jering (24,396 : M. 64%, C. 26%, I. 10%)
PKR 9411
UMNO 8309
Majoriti 1102
1999 UMNO (maj. 4764)

N59 Behrang (18,552 : M. 57%, C. 23%, I. 20%)
PKR 6771
MIC 5744
Majoriti 1027
1999 MIC (maj. 3748)

Dua exco .. nak keluar, keluarler .. tapi kena ngadap tuanku sultan mohon perkenan batalkan aku janji

Tajuk jer ... tak sempat nak ulas .. sila ke Ajijol