Telah diturunkan oleh SPR sebelum pukul 11.00 malam dengan alasan Tun Musa Hitam tidak bertanding di Parit
IPOH: Pengerusi
Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menggesa semua jentera parti
mengabaikan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan billboard
berkaitan kenyataan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Menurutnya,
billboard yang memaparkan kenyataan Tun Musa Hitam yang mengatakan bahawa
“Negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat memerintah” itu tidak melanggar
sebarang etika pilihanraya yang dikeluarkan oleh SPR.
Jelas beliau, PAS
persoalkan etika mana yang SPR gunakan untuk menghalang PAS menaikkan billboard
kenyataan Tun Musa Hitam tersebut.
Asmuni berkata,
Peraturan 7.6 (a) Tata Etika Pilihanraya hanya melarang pemasangan billboard
yang mengandungi slogan, karikatur atau apa-apa bentuk penyampaian mesej
yang berbentuk sindiran dan mengejek sahaja.
“Tetapi apa yang
dinyatakan oleh Tun Musa Hitam itu merupakan satu kenyataan fakta. Kenyataan
tersebut merupakan satu bentuk pengakuan dan pengiktirafan beliau terhadap
kebaikan tawaran-tawaran yang kita tawarkan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat”,
jelas beliau.
“Kenyataan itu juga
bukanlah satu kenyataan fitnah dan menyerang serta tidak menyakitkan hati
mana-mana pihak kerana kita tidak paparkan pun nama UMNO dalam Billboard itu”,
jelas beliau lagi.
Tegas Calon PAS Dun
Manjoi itu, kenyataan Tun Musa Hitam itu merupakan satu sangkalan terhadap
dakwaan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno-BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak
dan Tan Sri Muhyidin Yasin yang sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya
Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk memerintah, negara akan menjadi bangkrup.
Tambahnya lagi, SPR
tidak mempunyai sebab untuk mengarahkan agar Billboard tersebut dicabut kerana
kenyataan yang dipaparkan tersebut merupakan kenyataan ahli politik dan dibuat
kepada awam.
“Tun Musa Hitam
adalah seorang ahli politik dan merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, maka
kenyataannya itu boleh diambil oleh mana-mana pihak.
Tegas Asmuni,
kenyataan Tun Musa Hitam itu bukanlah kenyataan yang dibuat secara tertutup
tetapi dibuat dalam majlis umum yang dihadiri oleh orang awam dan telah disebar
luas termasuk oleh akhbar Sinar Harian.
“Oleh
itu, mana-mana pihak berhak untuk mengambil kenyataannya itu terutamanya
Pakatan Rakyat kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap Manifesto
Pakatan Rakyat.
“Perkara seperti
ini turut dilakukan oleh BN misalnya di pilihanraya kecil Galas dan Bagan
Pinang yang mana BN telah menggunakan secara meluas gambar Najib menziarahi Tok
Guru Nik Aziz di hospital sebagai bahan kempen pilihanraya mereka di
sana.
"Kita
tidak boleh menghalang perbuatan mereka itu kerana ia merupakan kejadian yang
benar,” jelasnya lagi.
Oleh itu, beliau
yang juga AJK PAS Pusat mempersoalkan di bawah undang-undang dan peraturan mana
pihak SPR mengarahkan agar billboard tersebut perlu diturunkan.
“Saya tidak nampak
satu pun undang-undang dan peraturan yang memberi bidangkuasa kepada pihak SPR
untuk mengeluarkan arahan tersebut.
"Kuasa
yang ada sekarang ini diberikan kepada pihak pemantau yang dibentuk oleh pihak
SPR yang anggotanya terdiri daripada wakil-wakil parti, pihak polis dan PBT,”
jelasnya lagi.
PAS katanya hairan
kenapa pihak SPR boleh mengambil alih tugas pasukan penguatkuasa tersebut
sedangkan tiada sebarang undang-undang dan peraturan yang membenarkannya.
- PerakiteDaily