Malaysia
Negaraku, Perak Negeriku... PMnya Ehsan MBnya Perasan...
Hari
ini saya hendak berlabun dengan MB saya, YAB Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli
b. Mohd Ghazali, MB Perak Darul Ridzuan..
Sejarah moden Negeri Perak mengatakan
bahawa Perak adalah sebuah negeri yang terkaya di tanah Melayu. Hasil bijih
timah dan getahnya cukup menggambarkan betapa kayanya negeri Perak suatu
waktu dahulu. Hampir semua ciri-ciri ekonomi moden bermula di Perak bukannya
di Selangor atau di Kuala Lumpur. Keretapi berkuasa wap yang pertama di
Tanah Melayu membawa bijih timah dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld).
Kilang peleburan bijih timah yang pertama di Teluk Intan (Teluk Anson).
Penggunaan tenaga elektrik yang pertama juga di Teluk Intan. Perlombongan
bijih timah secara besar-besaran bermula di Perak. Pokok getah yang pertama
ditanam di Kuala Kangsar. Pekebun kecil getah pertama berkebun di Kuala
Kangsar (allahyarham). Hospital yang pertama di Taiping dan Batu Gajah.
Kereta kabel yang pertama membawa arang batu di Gerik. Sepatutnya penggunaan
lif yang pertama juga di Perak iaitu di Batu Gajah, tetapi pembinaan Kellies
Castle terggendala menyebabkan lif pertama terlepas ke negeri lain. Semua
itu tinggal kenangan dalam lipatan sejarah silam.
Hari ini Perak semakin sepi. Nasib
baik kedudukan geografinya masih memungkinkan Perak terus bernafas. Perak
yang dihimpit oleh Pulau Pinang di utara dan Selangor di selatan dapat
juga menerima tempiasan ehsan ekonomi mereka. Perak menumpang tuah ekonomi
jiran-jiran. Walhal suatu waktu dahulu Perak penyumbang utama kepada ekonomi
jiran-jirannya.
Kemurungan ekonomi Perak semakin terasa
apabila Perak diterajui oleh MB Wan Mohamed b. Wan Teh (allahyarham) seorang
ADUN dari Hulu Perak. MB ini hanya meneruskan doa dan harapan agar harga
bijih timah tidak mengalami kejatuhan harga. Doa dan harapan yang sama
dengan MB sebelumnya iaitu bapa kepada MB sekarang. Tetapi harga bijih
timah terus merudum dan Perak menerima bahananya. Sebelum kerusi MB dikosongkan,
sempat juga MB Wan Mohamed membina kilang simennya di Bukit Berapit, Padang
Rengas (Perak Hanjong). Difahamkan kilang itu mampu beroperasi selama 100
tahun kerana bahan mentahnya ialah batu-batu kapur yang ada di kiri kanan
dan belakang kilang tersebut. Mewahlah hidup anak cucu cicitnya.
MB seterusnya ialah MB Ramli b. Ngah
Talib dari Kampung Gajah. Hari ini telah diturunkan pangkat sebagai Timbalan
Menteri Pengangkutan. Itulah penghormatan terakhir yang diterimanya daripada
bekas PM Paduka Tun. Beliau adalah MB pertama di Perak yang berkelulusan
luar negeri .. Lulusan Undang-Undang. MB ini mendapat durian runtuh apabila
ditabalkan menjadi MB dalam usia yang begitu muda. Segala ceruk rantau
Perak yang strategik ekonomi geografinya habis disapu. Lihat sahaja banglo-banglo
mewah di bukit-bukit di sepanjang laluan ke Lata Kinjang, Tapah. Begitu
mudah orang Korea dan Taiwan memiliki harta di Perak. Dahulu pernah tersiar
dalam akhbar perdana akan ajaran sesat korea yang diamalkan di sini, tetapi
isu itu terus sunyi hingga ke hari ini.
Negeri yang telah miskin semakin
miskin mendapat MB jenis ini. Bahkan kawasan jagaannya Kampung Gajah tidak
membangun seperti yang diharapkan. Sekadar indah khabar dari rupa. Segelintir
penduduknya dilayan dengan begitu istimewa, seumpama ayam daging ternak
yang diberi makan sepanjang hari .. gemuk .. tidur. Cukup untuk memastikan
mereka terus memberi undi dalam pilihanraya. Tetapi semua itu belum cukup
untuk memenangkan lagi BN di Kampung Gajah. Majoriti lebih 10,000 tahun
1995 hanya tinggal dalam lingkungan 2,000 sahaja tahun 1999. Ternyata ayam
daging yang diternak ini belum cukup untuk memenangkan lagi bekas MB ini.
Banyak lagi keraguan ekonomi yang ditimbulkan oleh bekas MB ini. Mungkin
penduduk Kampung Gajah terasa hati … sila beri respons untuk membuktikan
bahawa saya silap.
Selepas MB Ramli diangkut dengan lori
untuk diturunkan pangkatnya ke Kuala Lumpur, Perak diterajui pula oleh
MB yang tidak banyak kerenah. Kepopularan bapanya Haji Ghazali merintis
keyakinan baru kepada penduduk Perak. MB Mohd Tajol Rosli begitu diyakini
mampu menceriakan ekonomi Perak berdasarkan pengalaman lamanya dalam kabinet
bekas PM Paduka Tun. Beliau meniti dari satu tangga ke satu tangga sebelum
menjadi menteri penuh. Kepulangannya ke Perak diumpamakan seperti sireh
pulang ke gagang. Maklumlah negeri Perak tidak mempunyai tokoh politik
yang benar-benar berkaliber. Kalau adapun hanya seperti Megat Joned peliharaan
Ziela. Dan MB Tajol Roslilah satu-satunya tokoh yang ada pada masa itu
.. jadilah…
Hampir empat tahun MB Tajol Rosli
jadi MB Perak. Semakin bertambah hari semakin bertambahlah kebenakkannya
mengurustadbir negeri. Perak tetap seperti zaman MB-MB sebelumnya. Terus
miskin dan hampir papa kedana. Dengar cerita Perak akan memohon bantuan
pusat untuk membayar gaji pegawai-pegawai negeri sepertimana yang dilakukan
oleh Sabah dan Pahang sebelum ini. Sebab itulah Pak Marhain Tua ada menulis
beberapa hari lalu tentang betapa kesengajaan kerosakan sistem komputer
di Pejabat Pendaftar Syarikat di Ipoh dilakukan bagi memudahkan kerajaan
mengutip hasil daripada bayaran denda lewat rakyat. Satu langkah yang "teramat
bijaksana" untuk menambahkan kantung perbendaharaan negeri dan ilham ini
mesti telah mendapat restu daripada MB Perak sendiri.
MB .. MB.. Tidak malukah menjadi seorang
MB jikalau sekadar mahukan jawatan itu sahaja. Mungkin MB Perak tidak serakus
MB Selangor, tetapi apa guna menjadi MB jikalau tidak mampu mengkreatifkan
sumber-sumber ekonomi yang sedia ada dalam negeri ini. Kreatifkan ekonomi
bagi menambahkan kelangsungan hidup rakyat yang masih ramai berada di PPRT
UMNO. Mustahil UMNO mahu meningkatkan taraf hidup PPRT ini kerana mereka
adalah sumber undi UMNO. Mempertingkatkan pendapatan PPRT bermakna mendedahkan
mereka kepada maklumat-maklumat sebenar akan korupsi UMNO. Biarkan mereka
kekal sebagai PPRT.
MB, MB datang dari Gerik. Gerik adalah
laluan utama ke Kelantan. Dipisahkan oleh Tasek Banding. Tasik buatan manusia
untuk menjanakan elektrik hidro di Empangan Temenggor. Tidak pernah terfikirkah
kepada MB untuk menjadikan Tasek Banding itu sumber pendapatan utama penduduk
setempat. Majukan lagi Tasek Banding sebagai kawasan ternakan ikan dalam
sangkar terbesar di Malaysia atau di Asia. Sediakan lot-lot sangkar ikan,
nasihat tunjuk ajar dan bantuan pemasaran kepada penduduk tempatan. Jikalau
penduduk tempatan tidak bersedia menjadi nelayan sangkar, tawarkan kepada
PPRT yang begitu ramai dan daif kehidupan mereka di negeri Perak ini. Rugikah
kalau MB berbuat baik kepada yang miskin .. MB lagi tahukan .. bahawa berbuat
baik adalah satu sedekah terutama menjelang hari raya ini.
MB mungkin tidak lagi berkesempatan
melakukan semua ini, kerana tempoh MB hampir berakhir. Harapan untuk BA
menguasai Perak sentiasa terbuka. Kalau ada cacat celanya BA di Perak,
cuma tokohnya yang kurang .. tetapi ketokohan itu kekadang hanya mampu
dizahirkan apabila diberi peluang menjadi MB baru .. bukan seperti MB sekarang
yang hanya layak digelar MB Perasan … Perasan kerana menganggap negeri
maju di bawah pentadbirannya .. perasan …
Cukuplah MB, lain kali kita berlabun
lagi. Banyak lagi yang boleh kita labunkan.
Nasib baik bila main bola .. Perak
masih di tempat pertama .. kejor yob kejor ..
Cacilut
- 16.11.2003
Cacilut = Mamamat